Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
AG sendiri ketuai rayuan keputusan bersejarah kes hasutan
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 12:25 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengetuai pasukan kerajaan dalam rayuan terhadap keputusan bersejarah Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan 1948 tidak mengikut perlembagaan.

Mohamed Apandi, yang hadir di mahkamah hari ini untuk mengetuai pasukan dianggotai para peguam persekutuan bagi mewakili kerajaan dalam perkara itu, mengaku beliau memang jarang hadir di mahkamah.

"Semasa rayuan utama nanti, saya sendiri yang akan mengendalikannya kerana bagi saya, ia merupakan kes kepentingan awam.

"Ia sesuatu yang penting, iaitu kepentingan awam serta melibatkan undang-undang jenayah dan undang-undang sivil, yang saya mahu ia akhirnya diputuskan oleh mahkamah tertinggi.

"Selalunya, saya tidak hadir, tapi kes ini sangat penting," katanya kepada pemberita selepas prosiding.

Hari ini adalah kali kedua Mohamed Apandi menghadirkan diri di mahkamah sejak menyandang jawatan sebagai Peguam Negara kesembilan mulai 28 Julai 2015.

Kali pertama ialah pada 30 Jun tahun lepas di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang apabila beliau mengetuai pasukan pendakwa dalam kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pada prosiding hari ini, Mohamed Apandi, ketika sesi memperkenalkan pihak dalam kes itu, menggunakan istilah sapaan "sahabat dan abang saya" terhadap peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, peguam utama yang mewakili Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei.

Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, bersara pada Februari 2010, manakala Mohamed Apandi juga pernah menyandang jawatan sama sebelum dilantik sebagai Peguam Negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin hari ini memberi kebenaran kepada kerajaan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan 1948 tidak mengikut perlembagaan.

Berikutan kebenaran yang diberi itu, kerajaan boleh memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari dan rekod rayuan dalam tempoh lapan minggu, sebelum mahkamah dapat menetapkan tarikh rayuan.

Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Mat Shuhaimi dan mengisytiharkan bahawa peruntukan yang terkandung dalam Akta Hasutan adalah

tidak sah.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS