Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Rasuah dah dianggap tak seserius isu babi'
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 1:30 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor meluahkan rasa kesalnya dengan penangkapan pegawai-pegawai badan agama di negeri itu atas dakwaan rasuah.

Pengerusinya Aminolhuda Hassan berkata sebagai anggota badan yang menjaga kemuliaan Islam, mereka harus menunjukkan contoh yang terbaik.

“Hasilnya kelak, institusi agama Islam tidak akan dipandang tinggi dan tidak akan dihormati kelak,” katanya.

“Ini akan mendatangkan permasalahan besar dalam menangani isu masyarakat melalui jabatan jika wabak ini benar-benar telah terpalit.”

Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan dua pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan dua pegawai Pendidikan Agama Daerah Johor Bahru yang bertugas di Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa untuk kepentingan sendiri.

Dalam kes JAINJ, suspek disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan permit penganjuran kursus praperkahwinan Islam tanpa mengikut prosedur.

Memetik sumber, media melaporkan, sejak tahun 2015 hingga tahun 2016, kutipan bayaran peserta kursus berjumlah kira-kira RM130,000 dimasukkan ke dalam akaun badan kebajikan dan sukan berkenaan.

Silibus antirasuah

Dalam kenyataan hari ini, Aminolhuda juga membangkitkan sikap sebahagian ahli agama yang tidak melihat isu rasuah sebagai perkara yang serius.

“Ia (dianggap) tidak seserius isu gelatin babi dan kandungan alkohol, sedangkan kesan buruk rasuah boleh meruntuhkan negara.

“Masyarakat akan berpecah dan agama akan dihina,” katanya sambil memetik hadis yang menyebut Rasulullah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Aminolhuda mendatangkan silibus berkaitan antirasuah diperkenalkan di peringkat sekolah serta kepada golongan ahli agama sendiri.

“Dari cadangan itu dapatlah kita tuntaskan bahawa agama Islam ini benar-benar mengajak dan menyarankan kepada umatnya penentangan terhadap gejala rasuah ini kerana ia boleh merosakkan negara,” katanya.

SPRM semalam turut memberi amaran bahawa agensi agama turut tidak akan terlepas daripada mereka jika terlibat dalam amalan rasuah dan salah laku organisasi.

Lihat Komen
ADS