Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apakah pembangkang Melayu kini jadi badut - Umno
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 2:33 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mempersoalkan pemimpin Melayu dalam pembangkang sangggup menjadi badut setelah 'berpelukan' mesra bersama DAP.

Merujuk kepada himpunan Akta 355 anjuran PAS baru-baru ini, Syed Ali berkata, mereka yang kononnya melaungkan pembangkang berjuang untuk kepentingan Melayu dan umat Islam tidak mengambil kisah terhadap peri pentingnya pindaan akta tersebut.

"Apakah pemimpin Melayu dalam bangsal buruk pembangkang tidak terkesan atau tersentuh hati melihat pemimpin Umno dan PAS boleh bersatu atas kepentingan agama sedangkan pembangkang selama ini melaung-laungkan perjuangan Melayu.

"Bolehkah selepas ini untuk mereka melaung-laungkan parti pembangkang berjuang untuk kepentingan Melayu dan umat Islam sedangkan mereka langsung tidak mengambil kisah terhadap peri pentingnya pindaan RUU 355.

"Apakah kerana mereka sudah berada dalam pelukan mesra DAP, parti rasis yang sejarahnya menunjukkan parti itu tidak pernah menyenangi kebangkitan orang Melayu, maka mereka sanggup menjadi badut," kata beliau dalam blognya.

Baru-baru ini, parti bukan Melayu dalam komponen BN, MIC menyuarakan kebimbangannya terhadap kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam perhimpunan tersebut.

Ketuanya, Datuk Seri S Subramaniam berkata beliau tidak tahu Jamil akan hadir dalam acara itu dan akan membawanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kami akan bawa kepada perdana menteri dan anggota lain dalam kabinet dan kemudian bincang isu ini,” kata Subramaniam.

Selain puluhan ribu orang, perhimpunan bertemakan pakaian ungu itu turut dihadiri oleh timbalan Jamil, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas menteri Umno Tan Sri Syed Hamid Albar.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, solidariti yang terserlah dalam perhimpunan itu ternyata meresahkan blok pembangkang.

"Pakatan pembangkang seperti 'mati akal' bilamana pemimpin Umno, PAS termasuk NGO bergabung tenaga dan kudrat di atas satu pentas bagi menzahirkan sokongan terhadap kepentingan syariat Islam," tambahnya.

Pada masa yang sama, Syed Ali turut menasihatkan Umno agar berhati-hati dengan perang provokasi dilakukan pembangkang berhubung isu kewajaran pemimpin DAP, Lim Kit Siang dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Walaupun agak mustahil kebarang kaliannya, tetapi itulah yang dicanangkan oleh beberapa pemimpin blok pembangkang dengan alasan tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

"Mereka memperhebatklan gerakan provokasi tersebut sehingga menenggelamkan beberapa nama yang sebelum ini dijulang sebagai bakal perdana menteri selepas Najib.

"Secara tiba-tiba pula sejak kebelakangan ini, nama Lim dijaja di merata ceruk kononnya bakal diangkat sebagai perdana menteri jika blok pembangkang menguasai Parlimen," jelasnya.

Pada pemerhatian beliau, kata Syed Ali, blok pembangkang sengaja melancarkan perang provokasi itu supaya tercetus kegusaran dan rasa panik di kalangan penyokong Umno dan sekutunya dalam BN.

"Tidak keterlaluan, kebarang kalian kepada nama Lim itu bagi membangkitkan keresahan dan sedikit kemarahan orang-orang Melayu yang kini semakin bersatu kukuh di bawah bendera Umno," ujarnya lagi.

Serangan fitnah dan persepsi bertali arus juga dilakukan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zaid Hamidi yang turut menjalankan tugas selaku timbalan presiden Umno.

Lihat Komen
ADS