Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Negara tak perlukan PERMATA, ulang Khalid
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 3:41 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad sekali lagi menggesa kerajaan Umno, BN memansuhkan Program Permata Negara (PERMATA) atas alasan tiada keperluan, ketelusan dan akauntabiliti.

Sebaliknya, kata Khalid, peruntukan dan aset PERMATA perlu diagihkan semula pada program-program pendidikan yang dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Tiada keperluan untuk PERMATA kerana ia mempunyai objektif yang sama dengan program 'pendidikan awal' yang dikendalikan oleh KPM.

"Mengapakah perlu diwujudkan lagi satu badan yang menelan belanja RM45 juta dalam Bajet 2017 sedangkan KPM telah diperuntukkan RM767 juta untuk visi dan misi yang sama iaitu membangunkan pendidikan awal kanak-kanak.

"Sejumlah RM45 juta wang yang diperuntukkan untuk PERMATA adalah banyak di mata majoriti rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Pembantu isteri perdana menteri Datuk Rizal Mansor sebelum ini membidas Khalid yang bersama-sama Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Liew Chin Tong dari DAP menuntut kerajaan memansuhkan PERMATA.

"Bagi orang berada seperti Khalid sudah tentu tidak memerlukan PERMATA kerana mampu menghantar anak dan cucu ke pusat asuhan dan pendidikan awal swasta yang mahal.

"Tapi bagaimana dengan nasib anak-anak di luar bandar.

"Tidakkah mereka juga patut mendapat pendidikan awal kerajaan yang setaraf dengan apa yang Khalid mampu berikan kepada keluarganya di pusat-pusat asuhan swasta," tanya Rizal lagi.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, jawapan Rizal berhubung cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memansuhkan PERMATA mendedahkan mentaliti pimpinan Umno dalam menentukan dasar negara.

"Saya ingin jelaskan kepada Rizal bahawa itu bukan mentaliti dalam HARAPAN. Bagi kami, yang menguntungkan rakyat dan negara diutamakan bukan yang untungkan peribadi.

"Oleh itu, HARAPAN bercadang untuk memansuhkan PERMATA, yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Wang ini sepatutnya disalurkan dalam program pendidikan awal sedia ada, bukannya diperuntukan dalam sebuah program yang dikuasai oleh ahli yang berkait rapat dengan parti politik.

"Sekiranya kerajaan mahu menubuhkan program pendidikan istimewa yang berbeza dengan program sedia ada, maka seharusnya program tersebut ditempatkan di bawah kendalian KPM juga, bukannya JPM," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS