Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan lari dari kenyataan, kata PAS kepada AMANAH
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 4:06 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad hari ini membidas Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub yang mendakwa parti Islam itu kini berdepan dengan perpecahan.

"Kenyataan seorang pemimpin AMANAH bahawa PAS akan berpecah tidak lama lagi adalah satu pandangan dari orang yang mahu lari dari kenyataan.

"Jika benar AMANAH telah menarik separuh dari ahli-ahli PAS kepada parti mereka, maka bilangan ahli AMANAH hari ini adalah melebihi 500,000 orang.

"Tetapi kita tidak nampak ini telah berlaku," jelas beliau dalam kenyataan sambil menggesa agar AMANAH tidak lari dari kenyataan dan berpijak di bumi yang nyata.

Justeru, Iskandar yang juga naib presiden PAS berkata, AMANAH perlu berhenti daripada bermain dengan persepsi untuk menutup kelemahan sendiri.

Awal hari ini, Salahuddin mendakwa PAS kini berdepan dengan perpecahan setelah mula menampakkan kerjasama dan hubungan baik dengan Umno.

"Saya boleh katakan hari ini PAS sudah terbelah dua dan sebenarnya sudah berpecah.

"Satu kekuatan yang saya pelajari dengan PAS (dahulu), sekiranya pemimpin itu dilihat benar-benar rapat dengan erti kata lain tidak menganggap Umno sebagai musuh mereka, PAS akan berpecah lagi.

"Saya berani menyatakan PAS akan berpecah dalam beberapa bulan akan datang," ujar beliau.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, kenyataannya ialah AMANAH gagal untuk menggugat PAS dan tidak mampu menarik ratusan ribu ahli PAS untuk menyertai parti itu, seperti yang didakwa sebelum ini.

"Himpunan menyokong RUU (Akta) 355 ternyata telah membuktikan ahli-ahli PAS masih komited bersama agenda perjuangan parti."

"Oleh itu tidak nampak sebarang tanda bahawa PAS akan berpecah. Perpaduan ahli-ahli PAS begitu terserlah pada perhimpunan tersebut," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS