Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jumlah anggota Parlimen yang mencukupi untuk 'melompat parti' pada 16 September 2008.

Ia membolehkan usaha menggulingkan kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada masa itu menjadi kenyataan.

Bekas ahli Parlimen Machang itu yang merupakan saksi kedua dalam saman fitnah Anwar terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyerahkan surat mengenainya kepada Tajuddin Johar.

Tajuddin merupakan setiausaha sulit kepada perdana menteri Abdullah pada ketika itu.

Menjawab soalan peguam Anwar, Sivarasa Rasiah, saksi itu berkata, terdapat dua cara untuk menumbangkan kerajaan iaitu sama ada menerusi luar atau dalam Parlimen.

"Anwar arahkan kami untuk bertemu dengan Pandikar (Amin Mulia) di Kota Kinabalu. Rakyat Sabah agak biasa dalam menukar kerajaan.

"Oleh kerana kami memilih untuk melakukannya melalui Parlimen, terdapat dua cara - meminta dari Yang di-Pertuan Agong atau PM. Kami mengambil keputusan untuk menghantar surat kepada PM menerusi Tajuddin," kata Saifuddin.

Menjawab soalan peguam Khairy - Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertanya sama ada nama mereka yang mahu melompat parti turut dikemukakan kepada Tajuddin, Saifuddin berkata, tidak ada senarai nama.

"Itu suatu langkah yang bodoh kerana akan meneutralkan tindakan berkenaan dengan segala instrumen kerajaan yang ada," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS