Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rawat kecantikan kulit, SPRM tahan pengurus kanan MAHB
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 6:31 PM
Dikemaskini: 11:36 AM

Seorang pengurus besar kanan di Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng kira-kira RM80,000 untuk rawatan kecantikan kulit dan program pelangsingan.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras pada 11 pagi tadi.

"Suspek dikatakan mempunyai masalah obesiti dan disyaki menyalahgunakan kad kredit korporat yang dibekalkan oleh MAHB kepadanya untuk menjalani satu rawatan yang tidak terdapat dalam kontrak faedah.

"Melalui maklumat yang dikumpulkan, kad kredit korporat itu hanya boleh digunakan untuk kegunaan rasmi termasuk pembelian tiket kapal terbang, penginapan, keraian dan belanja mesyuarat seperti yang dinyatakan dalam Prosedur Operasi Standard syarikat tersebut," katanya.

Menurut sumber, MAHB akan membekalkan kad kredit korporat kepada pegawai yang layak untuk kegunaan rasmi.

Sumber berkata suspek telah dilantik sebagai Pengurus Besar, Bahagian Sumber Manusia pada Januari 2015 sebelum dinaikkan pangkat ke Pengurus Besar Kanan di bahagian yang sama pada Disember 2015.

"Siasatan awal mendapati suspek telah mendapatkan rawatan kecantikan kulit serta pelangsingan badan tersebut di sebuah klinik dan hospital swasta di Lembah Klang antara Disember 2015 dan Ogos tahun lepas," katanya.

Menurut sumber, segala kelulusan tuntutan perubatan kakitangan MAHB bergantung kepada semakan dilakukan oleh sebuah syarikat pihak ketiga yang dilantik bagi menguruskan kemudahan perubatan kakitangan mengikut Jadual Faedah dan senarai pengecualian yang diluluskan Bahagian Sumber Manusia MAHB.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

"Pihak kami telah merampas beberapa dokumen termasuk kad-kad kredit korporat yang dibekalkan kepada suspek bagi membantu siasatan.

"Selain itu, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman," katanya.

dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.

Lihat Komen
ADS