Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PEMANGKIN sedia beri kerjasama kepada polis
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 6:33 AM
Dikemaskini: 11:12 PM

Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) berkata dua bekas pengarahnya sedia bekerjasama dengan polis berikutan laporan yang dibuat oleh ahli lembaga pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Datuk Shahlan Ismail.

Bagaimanapun, katanya, laporan polis itu tidak akan menghalang pengasasnya, Mohd Yusoff A Bakar dan Ahmad Fazil Hashim meneruskan saman di mahkamah terhadap Yapeim dan tujuh pihak lagi.

"Saman tersebut tetap akan diserahkan kepada mereka bila dikeluarkan oleh mahkamah.

"Biar proses mahkamah dan undang-undang dijalankan. Semuanya akan dijelaskan di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu juga menafikan terdapat unsur penyelewengan dilakukan Mohd Yusoff dan Ahmad Fazil, termasuk dakwaan wang sebanyak RM2,505,011.36 dalam akaun PEMANGKIN adalah wang Yapeim.

"Persoalan yang timbul ialah kalau ini adalah benar, kenapa Datuk Shahlan Ismail yang mengambil tindakan dan bukan Yapeim?" soalnya.

Minggu lalu, PEMANGKIN memfailkan saman RM20 juta terhadap menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Yapeim dan enam pihak lagi atas dakwaan salah laku dan usaha menutup yayasan itu.

Pihak plaintif mendakwa Yapeim menggunakan dana PEMANGKIN untuk menaja program Jamil ke Eropah, Amerika Syarikat dan program-program Yapeim di Ausralia.

Kelmarin, Yapeim pula dilapor membuat laporan polis terhadap Mohd Yusoff dan Ahmad Fazil berhubung dakwaan kehilangan wang berjumlah lebih RM500,000 milik yayasan itu tahun lalu.

Lihat Komen
ADS