Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bangunan PPR, PA di ibu kota bakal dicat baru
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 7:56 AM
Dikemaskini: Feb 23, 2017 4:50 AM

Dalam usaha mengindahkan pemandangan di bandar ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal mengecat baru bangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerja-kerja mengecat bakal disiapkan menjelang Julai ini.

"Kita akan mengecat dengan warna yang seragam, tetapi warnanya belum ditetapkan dan ia diperuntukkan melalui Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M)," katanya semasa berucap merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Batu malam tadi.

Beliau berkata projek pengindahan bangunan itu bakal melibatkan 33 kawasan PPR dan 37 PA di sekitar Kuala Lumpur.

Selain mengecat bangunan, Tengku Adnan berkata DBKL sedang menaiktaraf infrastruktur di seluruh PPR dan PA antaranya seperti membaiki lif, penambahan tempat parkir dan meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif.

"Pelbagai inisiatif yang telah diambil bagi memberi keselesaan kepada rakyat di Kuala Lumpur, jadi saya harapkan agar penduduk menghargainya dan menjaganya dengan baik," katanya.

Mengenai acara tersebut, Tengku Adnan berkata beliau berharap ia dapat mengukuhkan hubungan akrab dan meningkatkan semangat kebersamaan antara masyarakat pelbagai kaum.

Acara yang dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan dan muzik jalanan itu dikunjungi lebih 3,000 warga kota.

Tengku Adnan turut menyampaikan bantuan yang disumbangkan oleh Umno bahagian Batu kepada 220 penduduk yang memerlukan dan menyampaikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada sepuluh wakil dari kawasan Parlimen Batu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS