Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan forex: Pecat Nor Yakcop jika serius, kata DAP
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 11:58 AM
Dikemaskini: 4:15 AM

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop perlu dipecat atau digantung dari Khazanah Nasional Bhd. jika Kabinet serius dalam siasatan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an.

Dalam kenyataannya, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata, sebaliknya, Nor juga boleh memilih untuk meletak jawatan kerana beliau adalah ketua operasi spekulasi tukaran asing bank pusat berkenaan pada masa itu.

"Ini kerana Nor adalah ketua operasi spekulasi tukaran asing Bank Negara yang mengakibatkan kerugian yang amat besar yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM30 bilion," jelas ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Pada 2013, Khazanah Nasional mengumumkan pelantikan Nor sebagai timbalan pengerusinya berkuat kuasa 3 Jun tahun yang sama selepas mendapat pencalonan oleh Perdana Menteri yang juga dan Pengerusi Khazanah, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nor juga dilantik sebagai pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah.

Sebelum itu, Nor merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi.

Mengulas lanjut, Lim berkata, beliau merujuk kepada peranan Nor dalam kerugian tukaran asing bank pusat itu dalam ucapan Parlimen mengenai isu yang sama pada tahun 1993 dan 1994.

"Ia merujuk kepada spekulasi tukaran asing besar-besaran oleh Bank Negara dalam pasaran pertukaran asing ke hadapan dengan pada tahap itu, pendedahan maksimum bank pusat boleh menjangkau RM270 bilion.

"Jumlah tersebut adalah tiga kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan lebih daripada lima kali ganda rizab asing negara pada masa itu," kata beliau lagi.

Semalam, bekas menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkata ketika dia muncul di mahkamah bahawa Nor bersubahat dalam kerugian tukaran asing tersebut semasa menjadi pegawai kanan bank pusat itu, ujarnya.

Anwar mendedahkan mengenai semasa menjadi menteri kewangan pada masa itu dan meminta untuk Nor agar meletakkan jawatan tetapi ia tidak berlaku, tambah Lim.

Bagaimanapun, kata Lim lagi, para menteri Kabinet melakukan kesilapan apabila memutuskan bekas ketua setiausaha negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai pengerusi pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing itu.

"Kabinet melantik Sidek untuk mengepalai pasukan petugas khas itu untuk menyiasat skandal yang berlaku 20 tahun yang lalu tetapi tidak berani berbuat apa-apa ke atas 'ibu' segala skandal kewangan di Malaysia iaitu 1MDB," katanya.

"Saya juga tidak terkejut dengan cabaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman untuk saya memberi kerjasama dengan pasukan itu.

"Tetapi Azalina tidak berani menyahut kembali cabaran untuk melantik saya sebagai ahli siasatan dalam skandal 1MDB dan BMF," tambah Lim.

Lihat Komen
ADS