Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suspek warga Vietnam - dari penyanyi ke lokap polis
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 12:03 PM
Dikemaskini: Feb 24, 2017 8:20 AM

Wanita Vietnam yang disyaki membantu dalam pembunuhan abang pemimpin Korea Utara adalah seorang penyanyi, berdasarkan kepada gambar-gambar di laman Facebooknya.

Empat hari sebelum Kim Jong-nam dibunuh di lapangan terbang Malaysia, dia telah menyiarkan gambar dirinya memakai baju terpampang dengan akronim 'LOL', sama dengan yang terdapat pada suspek yang dirakam oleh kamera CCTV.

Wanita itu (nama tidak didedahkan kerana suspek belum didakwa) bekerja di sebuah pusat hiburan, menurut polis Malaysia, yang telah menahannya berhubung pembunuhan Kim Jong-nam.

Di sebuah sawah padi di utara Vietnam, keluarga di mana butiran anak perempuan mereka sepadan dengan maklumat dari Polis Malaysia itu berkata, mereka tidak tahu di mana dia berada sejak dia meninggalkan rumah sedekad lalu ketika berusia 18 tahun.

Posting terakhir di laman Facebook atas nama "Ruby Ruby", yang disahkan oleh anggota keluarga sebagai akaunnya, bertarikh 11 Februari dari Kampong Besut, Malaysia.

"Saya mahu tidur lebih lama tetapi di sisimu," tulisnya dalam posting tersebut, di atas fotonya, dengan mata tertutup dan berselimut di atas katil.

Polis Malaysia berkata wanita Vietnam itu dan seorang wanita warga Indonesia menyapu cecair, yang mengandungi bahan toksik yang belum dikenalpasti, pada muka Kim Jong-nam di KLIA2 pada 13 Februari.

Abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un itu meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Wanita Vietnam itu digambarkan oleh polis sebagai "pekerja pusat hiburan", tetapi mereka tidak memberi butiran di mana dia bekerja atau status imigresennya.

Antara pautan di satu lagi akaun Facebook, yang menurut keluarga itu juga memaparkan fotonya, ialah ke laman 'Vietnam Idol'.

Akaun ini adalah atas nama "Bella Tron Tron Bella." - Chubby Bella. Tiada positng selepas November.

Seorang wanita yang miripnya menyanyi sebagai peserta 'Vietnam Idol' dengan nombor 67816 pada 3 Jun 2016.

Alat pengecaman wajah menunjukkan ia sepadan dengan gambar-gambar wanita Vietnam dalam tahanan yang dikeluarkan oleh polis Malaysia

Seorang anggota 'casting' Vietnam Idol' enggan mengulas mengenainya dan jurucakapnya tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

"Bolehkah saya nyanyikan sebuah lagi untuk anda malam ini?" dia menulis di laman Facebooknya pada 24 Mac tahun lepas. "Cepat jawab dan nyatakan nombor telefon anda dalam komen. Saya akan panggil dan nyanyi untuk anda."

Anggota keluarga kebanyakannya bekerja di sawah padi di sekitar rumah mereka di Nam Dinh, di Red River Delta tenggara Hanoi.

Wanita itu hanya pulang mengunjungi keluarganya sekali-sekali, kata mereka, dan mereka juga amar tentang di mana dia pergi. Dia kini berusia 28 tahun.

Bapanya berkata pihak berkuasa Vietnam telah menghubungi mereka sejak penangkapan anak mereka itu.

"Mereka hanya mengatakan akan menyokongnya kerana dia rakyat Vietnam, tetapi tidak memberitahu saya sama ada dia benar-benar seorang suspek," katanya kepada Reuters.

"Walaupun saya bapanya, saya tidak dapat mengawal perkara yang berlaku apabila dia di luar sana. Saya tidak boleh tahu," kata bapanya, 63, yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan.

Anggota keluarga berkata mereka hanya mendapat tahu dari media yang dia berada di luar negara. Mereka menyangka dia bekerja di Hanoi.

Setakat ini, pegawai Vietnam hanya mengesahkan kepada pihak media bahawa siasatan masih diteruskan dan mereka sentiasa berhubung dengan pihak Malaysia.

Seorang pegawai polis Korea Selatan berkata wanita itu melawat destinasi percutian di Pulau Jeju pada bulan November selama empat hari dan mereka sedang menentukan apa yang dia mungkin buat di sana, tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

Daripada 65 rakan laman Facebook "Ruby Ruby", 27 mempunyai nama Korea. Lima puluh enam daripada rakan-rakan itu adalah lelaki.

Satu status kemas kini di akaun Facebook pertama telah dibuat dalam bahasa Korea pada 23 Mac tahun lepas, yang berbunyi "Saya sayangkan awak, saya rindukan awak", walaupun ia tidak menggunakan kata-kata yang dijangkakan dari seorang yang biasa dengan bahasa itu.

Kebanyakan gambar dalam akaun itu adalah gambar wanita itu menghadiri parti, dalam bilik hotel atau potret. Kebanyakan dia memberi ciuman ke arah kamera.

Kosmetik, pakaian dan kedai makanan segera adalah antara 'likes' wanita itu di Facebooknya.

Tempat pendidikannya dinyatakan sebagai Harvard, walaupun keluarganya tidak percaya ia benar.

Pada 3 Januari, wanita itu menyiarkan gambar pas masuk dari Hanoi ke Kuala Lumpur. Anggota keluarga berkata kali terakhir dia berada di Nam Dinh ialah dari 25 hingga 29 Januari.

Wanita itu juga muncul dalam video lain dalam talian. Disiarkan pada April lalu, ia adalah di saluran YouTuber Vietnam yang meminta wanita menciumnya di jalanan.

Wanita dalam video itu sepadan dengan salah satu gambar terkini polis Malaysia.

Dalam video itu, dia kelihatan ketawa kecil sebelum berciuman dengan lelaki itu di atas bangku di taman.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS