Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apakah Sukan SEA 2017 tercemar rasuah, soal HARAPAN
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 12:16 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) menzahirkan kebimbangan dan rasa khuatir jika unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa meresapi proses permohonan dan kelulusan tender pembekalan peralatan gimnastik untuk Sukan SEA 2017.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Sany Hamzan dari Parti Amanah Negara (AMANAH), Nik Nazmi (PKR) dan Wong Kah Woh (DAP) berkata, terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab secara telus dan bertanggungjawab oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ia berhubung penganugerahan dan pelaksanaan tender peralatan sukan terbabit, kata mereka.

"Mengapa tender untuk pembekalan peralatan gimnastik yang ditutup pada Disember 2016 telah dibatalkan dan tender baharu dikeluarkan semula melalui Perbadanan Stadium Malaysia selepas sebulan kemudian.

"KBS sebelum ini telah melantik Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) bagi mengendalikan infrastruktur dan kemudahan untuk Sukan SEA.

"Mengapakah perkhidmatan MRCB tidak digunakan untuk peralatan sukan gimnastik apabila syarikat tersebut telah dilantik untuk mengendalikan infrastruktur dan kemudahan bagi Sukan SEA tersebut," kata mereka lagi.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan akan menyiasat isu dakwaan tender pembekalan peralatan gimnastik untuk Sukan SEA 2017 yang dipercayai wujud unsur penyelewengan dan salah guna kuasa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata pihaknya juga sedang meneliti maklumat-maklumat berhubung dakwaan berkenaan.

"Pihak saya akan meneliti dan siasat dahulu perkara ini sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya kepada sebuah agensi berita.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali keenam yang berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos depan.

Mengulas lanjut, HARAPAN berkata, pihaknya mempersoalkan ketelusan proses tender dan pembidaan harga selain memandang serius jika perkara berkenaan akan mencemarkan imej sukan negara.

"Sepatutnya, KBS bertanggungjawab dengan menyiasat pembekalan tender tersebut agar kes-kes seperti penyelewangan dana RM100 juta yang pernah berlaku dapat dielakkan pada masa akan datang.

"Oleh itu, HARAPAN menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan dengan segera sebelum terdapat individu-individu lain yang akan menyalah guna kuasa untuk kepentingan diri sendiri," kata mereka lagi.

Lihat Komen
ADS