Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR mahu Zeti kepalai RCI ke atas 1MDB
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 1:16 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Sambil mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas khas skandal BNM yang berlaku 30 tahun yang lalu, Pengarah Biro Strategi PKR, Sim Tze Tzin juga mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai 1MDB.

Sim yang juga ahli Parlimen Bayan Baru berkata, pihaknya juga ingin mencadangkan bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz selaku pengerusi RCI tersebut.

"Selain Zeti, nama lain yang dicadangkan dalam RCI itu ialah bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohammad.

"Pada hikmah kami, penubuhan RCI 1MDB bukan sahaja boleh mencari kebenaran tetapi boleh juga mendapat wang balik dari Amerika Syarikat (AS).

"Ini lebih berbaloi kerana laporan itu boleh digunakan sebagai asas kukuh untuk menuntut aset dan wang bernilai berbilion-bilion ringgit daripada kerajaan AS.

"Aset dan wang tersebut sekarang amat diperlukan oleh Malaysia untuk menyelesaikan hutang 1MDB yang kini amat terdesak. Wang dan aset tersebut sekarang telah dibekukan oleh Peguam Negara AS," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Kabinet melantik bekas ketua setiausaha negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai pengerusi pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara sekitar 1990-an.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, terma rujukan pasukan petugas khas itu adalah untuk menjalankan siasatan awal berkaitan kerugian Bank Negara dalam aktiviti spekulasi bagi urus niaga mata wang asing.

Selain itu, ia juga bagi menyiasat sejauh mana terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat kerugian tersebut dan mengkaji kalau ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya pada mesyuarat Parlimen.

Pasukan tersebut akan mengemukakan syor-syor kepada kerajaan mengenai tindakan susulan termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, jika perlu, berdasarkan hasil siasatan itu nanti.

Mengulas lanjut, Sim berkata, PKR mendesak kerajaan agar tidak bertindak pilih kasih dengan harus menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal 1MDB.

"Tetapi buat masa ini, pihak berkuasa di Malaysia masih kelihatan sunyi sepi. Satu persatu pegawai yang menyiasat telah bersara.

"Jika kerajaan boleh melantik Sidek yang telah bersara dalam pasukan khas siasatan forex, PKR mencadangkan supaya RCI boleh melantik Zeti dan Abu Kassim ke dalam suruhanjaya itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat," ujarnya.

Lihat Komen
ADS