Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz memberi nasihat kepada rakyat Malaysia agar tidak mengunjungi Korea Utara pada waktu ini.

Menurutnya, beliau tidak menggalakkan rakyat ke negara komunis itu kerana bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

"Saya tak galakkan. Jangan pergi ke sana.

"Sebab kita tak tahu apa akan berlaku. Kita tak tahu sebab negara itu negara yang kita tak boleh nak jangkakan apa yang akan lakukan.

"Mereka boleh lakukan semua perkara yang mustahil. Saya minta rakyat Malaysia jangan ke sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2017 di Komplek Kraf Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita yang bertanya sama ada terdapat rakyat Malaysia ke Korea Selatan.

Selain itu, ketika ditanya tentang kebimbangan orang ramai tentang keselamatan di lapangan terbang dan kewajaran untuk menghalang rakyat Korea Utara masuk ke negara ini, Nazri berkata, sebagai sebuah negara yang aman, Malaysia tidak mengamalkan sekatan.

Katanya, masalah keselamatan bukan sebab utama memandangkan kejadian yang menimpa Kim Jong-nam boleh berlaku di mana-mana.

"Malaysia sebuah negara yang bebas dan aman. Kita tidak sekat sesiapa untuk masuk. Ia bukan mengenai kawalan keselamatan yang longgar, tetapi sebab kita negara yang aman.

"Kita negara yang bebas dan kita tidak boleh hentikan orang daripada datang ke sini.

"Perkara sebegini boleh terjadi di mana-mana. Kebetulan ia berlaku di sini," kata Nazri lagi.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas didakwa dibunuh oleh dua wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Ekoran kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu, berlaku 'ketegangan' antara Malaysia dan negara berkenaan selepas Pyongyang menuduh Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan dalam pembunuhan Jong-nam.

Lihat Komen
ADS