Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH, bukan PAS berpecah tak lama lagi
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 4:39 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Wujud sekurang-kurangnya tiga kumpulan yang sedang bersaing untuk menguasai Parti Amanah Negara (AMANAH) yang bakal menyaksikan perpecahan parti itu, kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Katanya, disebabkan persaingan itu, sehingga hari ini tidak diketahui bila parti serpihan PAS itu akan membuat pemilihan pimpinan baru, sedangkan pemegang jawatan sekarang tidak dipilih melalui muktamar atau mesyuarat agung.

“Saya menjangkakan sekurang-kurangnya ada tiga kumpulan yang sedang bersaing untuk menguasai AMANAH.

“(Mereka) iaitu kumpulan Mohamad Sabu, kumpulan Datuk Husam Musa dan kumpulan yang cenderung kepada IKRAM (sebuah NGO Islam),” katanya dalam satu kenyataan media.

Mohd Zuhdi mengulas kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, semalam yang berkata PAS akan berpecah beberapa bulan lagi.

Menurutnya kenyataan Salahuddin itu cuba untuk mengalihkan perhatian umum terhadap perpecahan yang semakin ketara di dalam AMANAH berbanding PAS yang kini berada dalam situasi yang paling utuh.

“Situasi hari ini adalah yang paling utuh berbanding dengan era lalu.

“Ia disebabkan semua pimpinan dan ahli PAS benar-benar memahami dasar dan matlamat parti, iaitu mendaulatkan keadilan Islam bagi menggantikan sistem yang zalim,” katanya.

Syirik dan kafir

Mohd Zuhdi berkata ‘golongan yang bermasalah’ yang tidak memahami dan menghayati dasar serta matlamat Islam yang diperjuangkan oleh PAS sudah keluar meninggalkan parti itu dan kini bersama AMANAH dan PKR.

Katanya, mereka itu hanya bermatlamat untuk menjatuhkan Umno dan bagi mereka sesiapa sahaja boleh mendominasikan pemerintahan negara terutama DAP.

“Sedangkan menurut Islam kezaliman yang paling besar ialah syirik dan kafir,” katanya.

Semalam, Salahuddin dipetik oleh akhbar Sinar Harian sebagai berkata, PAS kini berdepan dengan perpecahan setelah mula menampakkan kerjasama dan hubungan baik dengan Umno.

Menurut bekas naib presiden PAS itu berkata, apa yang terjadi dalam parti berkenaan ketika ini sukar diterima terutama dalam kalangan penyokong dan ahli PAS kerana ia melibatkan soal dasar.

Sambil menafikan daklwan itu, Mohd Zuhdi berkata, mesyuarat agung di peringkat cawangan dan kawasan PAS sedang berlangsung dengan penuh harmoni.


“Dilaporkan semua mesyuarat agung yang telah dilangsungkan, berada dalam keadaan yang sangat harmoni dan dalam suasana ukhuwah Islamiyah yang cukup tinggi.

“Keharmonian dan suasana persaudaraan inilah yang menyebabkan PAS berjaya menghantar ratusan ribu ahli menyertai Himpunan Akta 355 yang dianjurkan oleh NGO-NGO Islam Sabtu lepas,” katanya.

Lihat Komen
ADS