Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki berperwatakan wanita maut ditembak
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 6:01 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Seorang lelaki berperwatakan wanita ditemui maut dengan kesan tiga das tembakan dan tetakan di Jalan Pasar di Kuantan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata mangsa dikenali sebagai K Selamperasan, 27, berasal dari Mentakab, dipercayai maut pada jam 3.30 pagi.

"Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di kaki lima kedai. Selain ditembak, mangsa juga mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan dan paha," katanya semasa dihubungi hari ini.

Abdul Aziz berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak kami masih menunggu laporan bedah siasat," katanya.

Sementara itu, sepupu mangsa V Reenunair, 29, berkata mangsa ingin dikenali sebagai Shameera Krishnan dan telah mengamalkan gaya hidup seorang wanita sejak lapan tahun lalu.

"Beliau bekerja di sebuah kedai bunga. Saya diberitahu mangsa keluar rumah sekitar pukul 3 pagi untuk membeli makanan dan mahu membeli kad tambah nilai telefon bimbit," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS