Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pembunuhan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dilihat sebagai menyimpang daripada operasi biasa negara itu di luar negara, kata pakar-pakar mengenainya.

Kim Jong-nam meninggal dunia minggu lalu selepas diserang di lapangan terbang berhampiran ibu negara Malaysia dengan apa yang polis percaya membabitkan penggunaan racun. Dua wanita yang menurut pihak berkuasa menyerangnya - seorang warga Indonesia dan seorang lagi yang membawa pasport Vietnam - telah ditahan.

Korea Selatan telah berkata ia percaya pembunuhan itu diselaraskan oleh sebuah agensi bayangan Korea Utara yang dipanggil Reconnaissance General Bureau (RGB).

RGB adalah "organisasi perisikan utama" Korea Utara, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengenakan sekatan terhadapnya pada Mac bulan tahun lalu atas peranannya dalam perdagangan senjata Korea Utara.

Tetapi memandangkan kes Kim yang lantang bercakap secara terbuka terhadap kawalan dinasti keluarganya, pembunuhannya mungkin merupakan satu operasi bersama antara agensi-agensi yang berbeza, kata Michael Madden, seorang pakar dalam kepimpinan Korea Utara.

"RGB hanyalah satu daripada banyak lagi kemungkinan. Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu minggu lagi untuk menentukan organisasi yang terlibat," kata Madden.

Pada hari Rabu, polis Malaysia menahan seorang lelaki warga Korea Utama yang berusia 47 tahun, yang mempunyai visa kerja di Malaysia untuk sebuah syarikat kecil perubatan herba dan tinggal di Kuala Lumpur bersama isteri dan dua orang anaknya.

Penggunaan warga Korea Utara di luar negara seperti lelaki di atas mempunyai bayangan tanda-tanda operasi oleh unit latihan pengintipan elit "Office 35", kata Jang Jin-sung, yang pernah bekerja di Jabatan Barisan Bersatu Parti Pekerja ', yang bersama-sama dengan Office 35, merupakan satu unit pengintipan dalam parti pemerintah.

"Mereka menyediakan orang-orang dengan pekerjaan sebenar dan berkemahiran dan menghantar mereka bersama keluarga hidup di luar negara," kata Jang.

"Apabila timbul keperluan segera seperti dalam kes Kim Jong-nam, mereka ini akan digunakan dalam operasi, jadi mereka telah pun dipersediakan lama sebelumnya". Madden berkata, sesetengah operatif Korea Utara adalah "ejen bebas", yang digunakan bila ada keperluan.

Korea Utara juga menempatkan sekurang-kurangnya seorang pegawai Jabatan Keselamatan Negara atau "bowibu" di kedutaannya di luar negara, kata Thae Yong-ho, bekas timbalan duta Korea Utara ke Britain, kepada Reuters bulan ini.

Pegawai tersebut biasanya mempunyai talian terus dengan Pyongyang, dan mengambil arahan dari Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja, serta bowibu.

Polis Malaysia telah mengenal pasti seorang pegawai kanan di kedutaan Korea Utara pada hari Rabu sebagai suspek dalam pembunuhan itu.

Rokok cyanide

Jika Parti Pekerja di sebalik pembunuhan Korea Utara, penggeraknya ialah RGB yang secara rasmi terletak di bawah tentera.

Agensi perisikan Korea Utara mempunyai sejarah menjalankan operasi keganasan di luar negara, biasanya disasarkan terhadap Korea Selatan.

Pada tahun 1968, komando dari Unit 124 apa yang kemudian hanya dikenali sebagai  Reconnaissance Bureau telah memasuki beberapa ratus meter ke dalam istana presiden Korea Selatan, dengan arahan untuk membunuh presiden ketika itu, Park Chung-hee.

"Ada sejarah lima dekad di sini dan banyak lagi memori institusi dan operasi," kata Madden. "Orang-orang ini dilatih oleh ketua-ketua operasi dan perisik yang keras dan tegar".

Hari ini, perisik Korea Utara adalah "generasi kedua dan ketiga dari para pengasas komuniti perisikan Korea Utara," kata Madden.

Tetapi penggunaan proksi asing seperti wanita Vietnam dan Indonesia yang disyaki melakukan pembunuhan Kim Jong-nam adalah menyimpang daripada operasi biasa Korea Utara.

Pada tahun 1987, ejen Korea Utara Kim Hyun-hee memasang bom pada pesawat penerbangan Korean Air 858, yang membunuh kesemua 115 orang di dalamnya apabila ia meletup ke Teluk Bengal.

Kim, yang telah ditangkap dan diekstradisi ke Korea Selatan, kemudiannya mendapat pengampunan dan mendedahkan butir-butir latihan perisik ketenteraan yang dijalaninya dalam memoirnya "Tears of my Soul" pada 1993.

Kim menceritakan dia diberi kotak biasa rokok Marlboro apabila melakukan misi itu. Sebatang rokok dengan tanda kecil dakwat hitam, yang jika digigit, akan membunuhnya serta-merta.

Kim telah ditangkap, tetapi apabila dia menggigit rokok yang mengandungi cyanide itu, ia gagal membunuhnya.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS