Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Analisis awal dapati bahan 'senjata kimia' digunakan atas Kim
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 9:11 AM
Dikemaskini: 8:14 AM

Analisis awal daripada Jabatan Kimia Malaysia telah mendedahkan bahan kimia telah digunakan dalam pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia telah menerima laporan analisis awal dari Jabatan Kimia Malaysia, berhubung kes yang membabitkan seorang warganegara Korea Utara baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata Pusat Analisis Senjata Kimia jabatan itu telah melakukan analisis ke atas beberapa eksibit merangkumi 'dry swab - eye muscosa' dan 'dry swab - face'.

"Hasil analisa, telah dikenal pasti bahawa bahan yang terlibat ialah ethyl s-2-diisopropylaminoethyl methylphosphonothiolate atau 'VX nerve agent'," katanya.

Menurutnya, VX disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

"Lain-lain eksibit masih dalam proses analisa," kata Khalid.

Menurut Reuters, VX tiada rasa dan tidak berbau dan diharamkan di bawah Konvensyen Senjata Kimia, kecuali "untuk tujuan penyelidikan, perubatan atau farmaseutikal ".

Ia boleh dibuat sebagai cecair, krim atau aerosol. Jika diserap dalam dos yang besar, ia mengakibatkan maut selepas 15 minit, demikian menurut Pusat Kimia Biologi Tentera AS di Edgewood, menjadikannya ejen saraf yang paling toksik yang diketahui di dunia.

Jong-nam meninggal dunia berikutan insiden di terminal lapangan terbang KLIA2 pada 13 Februari, selepas dua wanita yang tidak dikenali dikatakan telah menyembur atau menyapu mukanya dengan cecair.
 

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS