Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tarik balik imuniti politik diplomat Korea Utara'
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 11:52 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Bendahari Agung MIC Datuk Seri S Vell Paari mendesak imuniti politik diplomat Korea Utara, yang dikehendaki untuk siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, ditarik balik.

Katanya, beliau akan menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali meneliti undang-undang sedia ada untuk melaksanakan langkah itu.

“Tindakan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan Korea Utara dan/atau agennya bawah arahan Pyongyang sama seperti tindakan perang terhadap Malaysia dan kedaulatannya,” katanya.

Khalid semalam berkata Malaysia akan mengikut protokol undang-undang antarabangsa bagi menyoal lelaki itu, yang dilindungi bawah Perkara 29 Konvensyen Vienna daripada ditangkap atau ditahan.

Polis Malaysia telah mengemukakan surat permohonan rasmi untuk menemubual diplomat itu, bersama dengan seorang lagi warga Korea Utara yang dikenal pasti sebagai kakitangan Air Koryo.

Channel News Asia semalam memetik seorang pegawai kanan polis sebagai berkata diplomat Korea Utara itu dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) menghantar empat suspek yang lari pulang ke Pyongyang.

Sementara itu, Vell Paari berkata kematian itu bukan satu kemalangan, susulan pendedahan bahawa bahan senjata kimia "VX nerve agent" digunakan untuk membunuh Jong-nam.

VX disenaraikan sebagai senjata kimia bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

Menurut Reuters, VX tiada rasa, tidak berbau dan diharamkan bawah Konvensyen Senjata Kimia, kecuali "untuk tujuan penyelidikan, perubatan atau farmaseutikal ".

Ia boleh dibuat sebagai cecair, krim atau aerosol. Jika diserap dalam dos yang besar, ia mengakibatkan maut selepas 15 minit, menurut Pusat Kimia Biologi Tentera Amerika Syarikat.

Jong-nam meninggal dunia berikutan insiden di terminal lapangan terbang KLIA2 pada 13 Februari, selepas dua wanita yang tidak dikenali dikatakan telah menyembur atau menyapu mukanya dengan sejenis cecair.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS