Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petrol percuma: Pemuda BN sudah kaya raya, soal DAP
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 12:32 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

DAP hari ini mempertikaikan sumber kewangan Pemuda BN Wilayah Persekutuan yang akan memberi bantuan petrol percuma kepada penunggang motosikal di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mulai April ini.

Bagi Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, gimik petrol percuma ini tidak lain adalah petanda bahawa pilihan raya umum ke-14 semakin hampir.

“Dari mana Pemuda BN mendapatkan wang untuk membiayai program petrol percuma mereka selama 12 bulan kepada 117,000 penunggang motorsikal di Wilayah Persekutuan seperti yang diumumkan?

“Jika RM5 sebulan diperuntukkan kepada 117,000 penunggang motor, ia akan menelan belanja sekurang-kurangnya lebih RM7 juta.

“Adakah Pemuda BN sudah kaya raya?” katanya yang dipetik portal Roketkini.

Beliau juga memberi mengingatkan kerajaan agar tidak menggunakan wang pembayar cukai melalui peruntukan kerajaan untuk program petrol percuma ini.

“Kalau benar mereka begitu simpati dengan beban yang ditanggung penunggang motosikal, pemuda BN sepatutnya mengadakan protes setiap bulan sehinggalah pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menurunkan harga petrol,” katanya..

Lim juga berkata DAP akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika BN tidak boleh membuktikan bahawa mereka menggunakan dana sendiri.

Katanya, sebelum Pemuda BN menjalankan program seumpama ini, mereka harus bertanya ke mana perginya peruntukan RM1 juta setahun yang diperuntukkan kepada setiap kawasan parlimen khususnya di kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang.

Semalam, Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Mohammad Rafii dipetik berkata, program petrol percuma itu bertujuan membantu meringankan beban rakyat terutama penunggang motosikal.

Katanya, 117,000 penunggang motosikal disasar menerima bantuan berkenaan sepanjang program itu berlangsung.

Mohd Razlan berkata Pemuda BN Wilayah Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM250,000 untuk menjayakan program itu.

Januari lalu, Lim sendiri memberikan petrol percuma kepada 1,000 penunggang motosikal di kawasan parlimennya di Segambut Luar, Kuala Lumpur.

Dana itu diambilnya daripada anjuran rumah terbuka Tahun Baru Cina di kawasannya dengan pemberian hamper yang tidak diadakan tahun ini.

 

 

Lihat Komen
ADS