Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Suspek wanita bunuh Jong-nam muntah-muntah
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 1:33 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Seorang daripada dua suspek wanita asing yang ditahan reman mengalami muntah-muntah dipercayai akibat terkena bahan kimia yang digunakan dalam pembunuhan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan seorang wanita berkenaan mengalami muntah tetapi tidak memberitahu identiti suspek yang ditahan dalam kes pembunuhan 13 Feb itu.

"Dia muntah-muntah... mungkin kesan daripada bahan kimia itu," katanya ringkas ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sebelum berlepas untuk menunaikan ibadat umrah di Makkah.

Khalid mengulas soalan wartawan sama ada wanita yang terbabit itu terjejas dengan kesan agen saraf VX, yang diklasifikasikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran oleh PBB.

Sebelum ini, beliau berkata laporan analisis awal Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia 'Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau agen saraf VX digunakan dalam pembunuhan itu.

Beliau enggan mengulas lanjut.

Kim Jong-nam meninggal dunia selepas diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Februari 13.

Polis menahan seorang wanita Vietnam dan seorang lagi wanita warga Indonesia yang disyaki menyembur atau menyapu muka Jong-nam dengan sejenis cecair.

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Susulan kes pembunuhan Jong-nam itu, polis Malaysia menahan empat suspek - seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.

Lelaki warga Malaysia itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Lihat Komen
ADS