Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Malaysia akan periksa KLIA untuk bahan 'radioaktif'
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 1:44 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Pihak berkuasa Malaysia akan memeriksa lapangan terbang antarabangsa dan lokasi lain untuk bahan radioaktif, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ketua Polis Khalid Abu Bakar.

Ini berikutan pembunuhan Kim Jong Nam disahkan dengan menggunakan agen saraf VX, sejenis bahan kimia yang sangat bertoksik.

"(Kami sedang) periksa semua lokasi yang kami tahu suspek pergi. Kami akan mendapatkan pakar-pakar dari jabatan tenaga atom untuk ke lokasi dan periksa untuk melihat jika masih ada (bahan) radioaktif,” katanya yang dipetik Reuters.

Ia adalah kali pertama polis menyebut "bahan radioaktif" dan Khalid tidak mengulas lanjut mengenai apa yang "masih" berada di sana.

Jong-nam abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, meninggal dunia selepas diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Pihak berkuasa menemui kesan racun VX ditubuhnya. Racun itu diklasifikasikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis akan bekerjasama dengan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk memeriksa semua lokasi yang pernah dilalui suspek dalam kes pembunuhan itu.

Khalid berkata kerjasama itu dilakukan kerana kemungkinan terdapat sisa radioaktif hasil penggunaan bahan kimia 'Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau Agen Saraf VX disenaraikan sebagai senjata kimia.

Sebelum ini, analisis awal oleh Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia Agen Saraf VX dikaitkan dengan pembunuhan Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

"Kami akan mendapat pakar forensik tenaga atom memeriksa lokasi dan mengesan jika sisa radioaktif di sana," katanya kepada pemberita di Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas untuk menunaikan umrah hari ini.

Ia merupakan kali kedua pihak media terserempak dengan Khalid di KLIA di mana sebelum itu kira-kira 150 petugas media tempatan dan asing menyerbu sidang media Jabatan Imigresen, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Airlines Operating Committee mengenai usaha mengurangkan masa menunggu di lapangan terbang dengan harapan mendapat perkembangan mengenai kes pembunuhan Jong-nam.

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Susulan kes pembunuhan Jong-nam itu, polis Malaysia menahan empat suspek - seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.

Lelaki warga Malaysia itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Lihat Komen
ADS