Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPM arah bentang penilaian hubungan dengan Pyongyang
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 2:59 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan Kementerian Luar membentangkan kepada Kabinet penilaiannya mengenai hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Ini susulan daripada kenyataan 'kurang berdiplomasi' Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol, baru-baru ini yang mendakwa Malaysia bersengkongkol dengan musuh Pyongyang berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin utama negara itu, Kim Jong-un pada 13 Februari.

"Hubungan diplomatik kita serahkan kepada Kementerian Luar untuk lakukan penilaian dan kemukakan perkara itu kepada jemaah menteri untuk diputuskan.

"Kita harapkan ia dapat dipertahankan... namun dalam masa yang sama hormatilah undang-undang negara kita dan hormatilah profesionalisme yang dilakukan oleh pakar-pakar kita," kata timbalan perdana menteri mengenai dakwaan Kang Chol dan proses penyiasatan yang dilakukan Malaysia dalam kes ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke pusat pemulihan penagih dadah Cure and Care (CCRC) Sungai Ruan, Raub hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan, dan Kepenggunaan Negeri Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin mewakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dab Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.
 
Pergerakan Pemuda Umno sebelum ini menggesa kerajaan mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara berikutan beberapa kenyataan pemimpinnya termasuk Kang Chol yang tidak menghormati kedaulatan negara ini.

Kang Chol dalam sidang akhbarnya pada 17 Februari lalu mendakwa kononnya Malaysia mempunyai "sesuatu untuk disembunyikan" dan "berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar" dalam pengendalian kes pembunuhan Jong-nam.

Mengulas lanjut perkara itu, Ahmad Zahid dengan tegas berkata Malaysia melakukan penyiasatan kes berkenaan dengan profesional tanpa pengaruh atau bersengkongkol dengan mana-mana individu, organisasi mahupun negara ketiga.

"Malaysia bukan sebuah negara yang membenihkan penjenayah, Malaysia bukan sebuah negara melindungi penjenayah, Malaysia sebuah negara yang tegas dan tidak akan bersengkongkol dengan mana-mana individu, organisasi, atau negara yang melakukan perbuatan itu," katanya.

"Kita merupakan antara negara yang tegas dalam hal itu, jadi jangan main reverse psychology...kita tidak mahu cari permusuhan dengan mana-mana negara, tetapi dalam masa yang sama kita juga tidak dapat terima jika dituduh bersengkongkol dengan pembunuhan ini," katanya.

Sehubungan itu, timbalan perdana menteri meminta pihak berkenaan agar tidak terus mengeluarkan kenyataan yang menuduh Malaysia terlibat dengan perkara sebaliknya dan harus menghormati hubungan diplomatik yang sedia terjalin.

"Dalam hal ini soal hubungan diplomatik harus dihormati, gunakan bahasa yang lebih diplomasi... kerana PDRM (polis) Jabatan Kesihatan serta Jabatan Kimia kita telah bertindak profesional.

"Jangan tuduh kita bekerjasama dengan negara ketiga semata-mata untuk mengabui fakta yang ada," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS