Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuduhan HARAPAN mengenai KWSP berniat jahat, kata BN
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 6:54 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyangkal tuduhan tiga pemimpin pembangkang mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sangat berniat jahat.

"Saya terkejut dengan kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh tiga pemimpin pembangkang iaitu Dr Dzulkefly Ahmad (AMANAH), Wong Chen (PKR) dan Teresa Kok (DAP) dua hari lalu.

"Mereka secara berniat jahat menuduh KWSP kini mengalami masalah kewangan justeru mengiystiharkan kadar dividen yang lebih rendah pada 5.7 peratus bagi 2016 berbanding 6.4 peratus untuk tahun sebelumnya.

"Tiga ahli politik kanan ini juga mendakwa ia adalah berikutan pelaburan KWSP dalam 1MDB dengan secara tidak benar, mendakwa melibatkan nilai RM1.72 bilion," katanya dalam kenyataan.

Abdul Rahman menegaskan, KWSP tidak menghadapi masalah kewangan dan jika berada dalam kesulitan atau alami kerugian, KWSP tidak akan mampu membayar dividen langsung, apatah lagi 5.7 peratus bagi 2016.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (HARAPAN), menerusi kenyataan oleh Dr Dzulkefly, Wong dan Kok berkata, pihaknya berpendapat tindakan KWSP mengisytiharkan kadar dividen lebih rendah berbanding 6.4 peratus pada tahun 2015 tersasar dengan hasrat kerajaan yang mahu rakyat mempunyai nilai simpanan yang tinggi pada hari tua.

"HARAPAN juga melihat bahawa penurunan dividen ini berpunca daripada pelaburan KWSP di dalam syarikat sarat hutang, iaitu 1MDB sebanyak RM1.72 bilion.

"Oleh itu, HARAPAN menggesa supaya KWSP segera melupuskan pegangan dan pelaburan dalam 1MDB terutamanya dalam bon-bon bagi melindungi kepentingan pencarum.

"KWSP kini berdepan masalah kewangan yang akhirnya memberi kesan kepada pencarum dan pendepositnya.

"Pelaburan KWSP sebanyak RM1.72 bilion adalah satu jumlah yang besar, apatah lagi bila dana ini adalah simpanan wang rakyat yang diuruskan oleh KWSP," tambah ketiga-tiga mereka.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, sebagai mana yang telah dijawab di Parlimen pada Mei 2015, pendedahan KWSP kepada 1MDB adalah RM200 juta, dan bukannya RM1.72 bilion.

"Pelaburan ini adalah dalam bentuk Sukuk 30 tahun yang dikeluarkan pada 2009 dan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

"Bagi memperjelaskan selanjutnya, pendedahan KWSP juga adalah bagi dua bon RM1.5 bilion untuk dua loji Pengeluar Tenaga Persendirian (IPP) iaitu Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan Jimah Energy Ventures Sdn Bhd (JEV).

"Bon ini dibeli oleh KWSP masing-masing pada tahun 2003 dan 2005 sebelum 1MDB diwujudkan dan turut disokong oleh aliran tunai yang kukuh," katanya lagi.

Sebagaimana diketahui umum, kedua-dua IPP ini dibeli oleh 1MDB baru-baru ini dan sejak itu, sudah dijual melalui satu urusniaga yang dilengkapkan pada Mac 2016, sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB, ujarnya

Maka, kedua-dua bon itu tidak lagi berkait dengan 1MDB lagi, jelas Abdul Rahman.

Lihat Komen
ADS