Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno nafi terlibat beri geran, dana kepada usahawan
Diterbitkan:  Feb 25, 2017 6:09 AM
Dikemaskini: 10:40 PM

Umno menafikan sebarang penglibatan dalam penganjuran pemberian sebarang geran atau dana kononnya bagi membantu khususnya peniaga kecil dan syarikat baru dengan menjanjikan pulangan berganda dalam tempoh tertentu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya telah menerima beberapa aduan berkaitan kewujudan geran atau dana yang mengaitkan nama Umno bagi membantu syarikat sdn bhd dan enterprise.

"Sehubungan itu, saya ingin menafikan penglibatan Umno dalam pemberian geran atau dana kepada mana-mana pihak malah Umno juga tidak pernah melantik mana-mana individu atau mana-mana pihak untuk menjadi ejen dalam skim tersebut," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya modus operandi skim itu menyasarkan peniaga-peniaga kecil dan syarikat baru yang mempunyai jumlah modal kecil.

Tengku Adnan menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan taktik mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Umno dan sebaliknya membuat semakan dengan ibu pejabat Umno terlebih dahulu bagi mengelakkan tertipu.

Program minyak percuma

Sementara itu, Tengku Adnan berkata dana program minyak percuma untuk penunggang motosikal di dalam kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan ditanggung sepenuhnya badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan dana kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata program tersebut adalah inisiatif NGO dalam mengurangkan beban hidup rakyat dan tidak berkaitan dengan kementeriannya.

"Program itu bukan ditaja oleh kementerian, tidak ada kena mengena dengan duit kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Wilayah International Motofest 2017 semalam.

Semalam dilaporkan Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan akan memberi bantuan petrol percuma kepada penunggang motosikal di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya setiap awal bulan bermula April ini.

Tengku Adnan berkata kementeriannya bagaimanapun sentiasa merangka pelbagai inisiatif lain dalam mengurangkan beban dan kos sara hidup rakyat.

"Seperti tahun ini kita lancarkan program bantuan bas sekolah buat anak-anak PPR (Projek Perumahan Rakyat) dan kita juga sedang kaji untuk beri bantuan bas perantara dari PPR ke Stesen LRT (Sistem Transit Aliran Ringan)," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS