Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk resah tayar kereta kena kunci
Diterbitkan:  Feb 25, 2017 6:28 AM
Dikemaskini: 10:35 PM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diminta untuk mengkaji semula penguatkuasaan tindakan mengunci tayar kenderaan yang gagal membuat bayaran parkir atau diletak di bahu jalan khusus di kawasan bukan komersial dan berkepadatan tinggi.

Ketua Pemuda Umno bahagian bandar Tun Razak, Mohd Amir Abd Halim berkata antara kawasan itu termasuk Bandar Sri Permaisuri yang menyaksikan sebanyak 50 kenderaan dikenakan tindakan dikunci tayar sehari.

"Puncanya mesin bayaran parkir yang kerap rosak menyebabkan pengguna tidak boleh membuat bayaran dan kekurangan petak parkir menyebabkan pemandu terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan.

"Penguatkuasa DBKL selain mengenakan kompaun, mereka juga mengunci tayar kereta walaupun ia diletakkan dalam kotak parkir," katanya dalam sidang media semalam.

Menurutnya tindakan tegas itu agak keterlaluan dan malahan DBKL dikatakan enggan melayani rayuan pemilik kenderaan itu.

Mohd Amir juga turut mempersoal caj parkir kawasan itu yang dikatakan lebih tinggi sebanyak 20 peratus berbanding kawasan lain bagi kategori luar pusat bandar di bawah penyeliaan DBKL.

"Sepatutnya hanya 80 sen sejam tetapi di sini dikenakan RM1 sejam," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya DBKL memansuhkan semua kompaun yang telah dikenakan bermula sejak 1 September tahun lepas kepada pemilik kenderaan sehingga masalah lebihan caj itu diatasi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS