Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu wanita dalam nahas remaja berbasikal bukan anak VIP
Diterbitkan:  Feb 25, 2017 7:15 AM
Dikemaskini: 11:20 PM

Polis menafikan pemandu wanita yang merempuh lapan remaja lelaki berbasikal sehingga maut dalam kejadian di Johor Bahru Sabtu lepas, adalah anak orang kenamaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh, ketika mengesahkan perkara itu, berkata spekulasi yang mengaitkan pembebasan wanita berusia 22 tahun itu kerana status keluarganya daripada golongan kenamaan, adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

"Beri masa kepada polis untuk lakukan siasatan, jangan terburu-buru membuat andaian," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dan gambar yang tular di media sosial yang mendakwa pembebasan wanita itu dengan jaminan polis kerana berkait dengan keluarganya yang merupakan golongan kenamaan, sehingga memaksa polis membebaskannya daripada tahanan.

Dalam kejadian awal pagi 18 Februari lepas, lapan remaja lelaki yang berbasikal maut selepas dirempuh pemandu wanita tersebut di Jalan Lingkaran Dalam, dekat Johor Bahru.

Kejadian itu turut mengakibatkan empat lagi remaja lelaki patah kaki, dua tidak stabil berikutan pendarahan di dalam otak, seorang luka di kepala dan seorang lagi cedera di pinggul.

Wanita itu pula ditahan untuk membantu siasatan dan kemudianya dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan harinya (19 Feb) selepas selesai keterangannya direkod.

- Bernama

Lihat Komen
ADS