Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, perlu diselesaikan secara diplomatik, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Kenyataan yang dibuat Duta Besar Korea Utara (Kang Chol) memang biadap. Mungkin terpaksa (berbuat demikian) kerana takut tindak balas kepimpinan Korea Utara. Sebab itu, ayat-ayat mereka gunakan cukup tidak diplomatik.

"...saluran diplomasi mesti diteruskan (dalam menyelesaikan isu ini)," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Siri 181-2/16 di Port Dickson hari ini.

Hishammuddin juga berkata beliau yakin dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan kes itu.

"Saya sebagai naib presiden Umno bersama-sama kepimpinan BN, kita tahu jenayah ini berlaku di bumi kita, kita ada proses perundangan kita dan saya yakin PDRM mampu buat siasatan," katanya.

Sebelum ini, Kang Chol mendakwa kononnya Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu dan bersekongkol dengan "kuasa-kuasa seterunya" dalam penyiasatan kes berkenaan dan kerajaan Malaysia menolak dakwaan tidak berasas duta itu.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam yang sedang menanti penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) telah dihampiri dua wanita yang didakwa menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai disembur bahan beracun.

Kita rasa terhina

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan passport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada hari yang sama.

Di KOTA BHARU, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata rakyat Malaysia perlu menyokong penuh sebarang tindakan kerajaan terhadap hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Beliau berkata ini berikutan tindakan Kang Chol yang terus mengkritik kerajaan Malaysia dan siasatan pembunuhan Jong-nam.

"Kita rasa terhina apabila mendengar komen duta yang mempertikaikan kewibawaan negara kita, mempertikaikan institusi kita seperti polis, doktor dan negara kita. Ini mencampuri urusan negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Kelantan hari ini.

Mustapa berkata sebagai duta asing, Kang Chol tidak wajar melemparkan pelbagai tuduhan kepada Malaysia dan perbuatan itu menghina rakyat negara ini.

"Kita ada institusi yang cukup berwibawa, mereka ini adalah golongan profesional," katanya sambil memberitahu hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Korea Utara dijalankan seperti biasa.

Di PERAK, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berpendapat kedudukan Malaysia di mata dunia tidak akan terjejas sekiranya hubungan diplomatik dengan Korea Utara ditamatkan.

Beliau memberikan contoh Jepun yang sudah lebih lima tahun memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara namun negara matahari terbit itu tidak mengalami sebarang kesan negatif.

"Bagaimanapun, terpulang kepada jemaah menteri untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan atau tidak (hubungan diplomatik)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 kepada 1,500 penerima bagi kawasan Parlimen Padang Rengas di Padang Rengas hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata Malaysia masih selamat dikunjungi oleh pelancong antarabangsa kerana kes pembunuhan Jong-nam merupakan kes terpencil.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan Kang Chol sebagai tidak menghormati undang-undang di negara ini dan melangkaui batasan.

"Secara peribadi bagi saya dia (Kang Chol) harus biarkan kes selesai disiasat baru keluarkan komen, ini siasatan belum selesai dia terus jump the gun," katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Pendidikan dan Penerangan Dasar-Dasar Utama Kementerian Pendidikan di Sungai Petani, hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS