Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Penduduk termakan hasutan Nurul Izzah kini menyesal - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membidas Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang sebelum ini cuba menggagalkan pembangunan semula flat empat tingkat di Kampung Kerinci, Kuala Lumpur dengan menyifatkan ia demi kepentingan politik semata-mata.

Najib berkata, kejayaan projek berkenaan yang kini diberi nama Residensi Kerinchi hari ini membuktikan kesungguhan kerajaan membela nasib rakyat.

“Saya cukup musykil ahli parlimen Lembah Pantai cuba menggagalkan projek ini dan membawanya ke mahkamah.

“Ini bukan satu politik kerana kalau projek ini berjaya, nama BN akan naik.

“Dia bawa ke mahkamah dan projek ini berjaya, yang jadi mangsa 34 orang yang ikut hasutan dia dan mereka menyesal,” kata Najib dalam ucapannya sebelum merasmikan Residensi Kerinchi hari ini.

Mengulas lanjut Najib mengingatkan rakyat di negara ini tidak termakan dengan hasutan pembangkang dan seharusnya bijak menilai mana yang baik serta buruk.

“Itulah yang saya kata kita jangan makan hasutan, kita kena menilai sama ada satu itu baik ataupun buruk, beri manfaat pada kita atau tidak.

“Ini soal kepentingan dan kebajikan rakyat, tidak seharusnya kita termakan hasutan,” katanya.

Pada April 2012, penghuni flat 4 tingkat Kampung Kerinchi diarahkan untuk berpindah atas alasan pembangunan namun 34 daripada mereka tidak berpuas hati dengan cadangan kerajaan itu.

Penduduk di situ antara lain berkata rumah berkenaan telah dibeli sejak 40 tahun lalu. Notis pengosongan itu adalah untuk membolehkan kawasan tersebut dibangunkan semula oleh pemaju Suez Domain Sdn Bhd.

Kini seramai 408 penduduk flat empat tingkat Kampung Kerinchi yang mengikut gesaan kerajaan untuk berpindah mendapat sebuah unit pangsapuri baru dengan tiga bilik tidur serta dua bilik air yang berkeluasan 900 kaki persegi berbanding kediaman sebelum ini yang hanya mempunyai sebuah bilik atau tiada bilik.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk surau, medan selera, taman permainan, taska, dewan serba guna dan kolam renang.

Sebelum ini flat itu hanya mempunyai empat tingkat tetapi kini dibangunkan semula sebagai pangsapuri moden 18 tingkat.

Dianggarkan nilai sebuah pangsapuri Residensi Kerinchi bernilai RM500,000, jauh berbeza dengan satu unit flat yang didiami penduduk terdahulu iaitu sekitar RM50,000.

Penghuni baru itu turut menerima skim yang membantu mereka sebelum berpindah ke rumah baru, antaranya elaun pindah keluar ke rumah transit di PPR Kerinchi sebanyak RM5,000 dan pindah masuk ke Residensi Kerinchi sebanyak RM8,000.

Lihat Komen
ADS