Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP nafi suspek wanita Indonesia diperdaya
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 4:52 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak dakwaan bahawa suspek wanita Indonesia dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam telah diperdaya untuk melakukannya.

"Mereka boleh kata apa sahaja, tetapi siasatan kami menunjukkan sebaliknya.

"Alasan kami masih menahannya dan suspek lain bukan kerana mendasarkan pada andaian.

"Kami menahan mereka berdasarkan apa yang dijumpai melalui siasatan yang menyeluruh,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketua Polis Negara itu turut mengulangi bahawa wanita berkenaan telah menjalani latihan sebelum serangan pada 13 Februari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Suspek Indonesia, dan seorang lagi wanita, yang dipercayai warga Vietnam, adalah antara mereka yang ditahan berhubung pembunuhan itu, yang kemudiannya mencetuskan perbalahan diplomatik antara Putrajaya dan Pyongyang.

Korea Utara menolak siasatan polis negara ini dan menuduh Malaysia memalsukan bukti serta melanggar hak asasi manusia.

Pyongyang juga menuntut bahawa supaya kedua-dua wanita berkenaan dan juga seorang suspek warga Korea Utara yang turut ditahan dibebaskan.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar China Press, yang memetik rakan suspek wanita Indonesia itu.

Rakannya mendedahkan bahawa suspek berusia 25 tahun itu meraikan hari jadinya di sebuah kelab malam yang terkenal di Kuala Lumpur pada malam sebelum berlakunya pembunuhan tersebut.

"Saya tidak percaya dia akan membunuh mana-mana individu hanya untuk mendapatkan wang. Mustahil. Saya rasa dia telah diperdaya," jelas rakannya.

Menurut rakannya itu, suspek tidak mempunyai motif untuk membunuh Jong-nam dan bertekad untuk menceburi industri hiburan.

"Dia seorang yang ringkas dan berharap dapat menceburi industri hiburan, suatu hari nanti.

"Saya tahu cita-citanya itu kira-kira setahun yang lalu," katanya.

Jong-nam, 45, adalah abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Bapa kepada tiga orang anak itu meninggal dunia selepas ditekap dengan bahan kimia yang dipercayai adalah agen saraf VX.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS