Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kini, Zaid suarakan apa yang tak terkata pada 1993
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 6:25 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Selepas ucapan Sultan Johor, bekas menteri Umno mengimbau bagaimana beliau mensia-siakan peluang untuk bersinar dalam karier politiknya.

Kenyataan pedas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar beberapa hari yang lalu mengenai seorang ahli politik menyebabkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim kembali menyoroti kenangannya dalam politik.

Walaupun Sultan Ibrahim tidak menamakan mana-mana individu dalam sindiran keras baginda, pemimpin berkenaan dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam catatan blognya hari ini, Zaid menceritakan bagaimana beliau gagal untuk mencerahkan masa depan politiknya apabila diberi peluang untuk menyampaikan ucapan semasa perhimpunan agung Umno pada tahun 1993.

Dua puluh empat tahun kemudian, bekas menteri itu mendedahkan niat sebenar yang mahu disuarakan dalam ucapannya itu, tetapi diubah pada saat-saat akhir.

"Apabila disertakan dengan tujuan dan sabitan, wujud saat-saat dalam hidup ini yang mampu mengubah kerjaya dengan begitu bererti. Begitu juga, apabila membiarkan saat-saat itu berlalu, anda berisiko ketinggalan dalam mengejar kuasa.

Anda kemudian harus menunggu begitu lama untuk satu lagi gelombang untuk menggapai impian - itupun jika peluang itu datang lagi. Inilah yang berlaku kepada saya pada tahun 1993.

"Sindiran keras Sultan Johor terhadap Mahathir atas pandangan politik beliau tentang corak pentadbiran negara (termasuk Johor) mengingatkan saya kepada beberapa peristiwa yang berlaku pada awal tahun 1993. Ini adalah tahun apabila hampir-hampir berlakunya revolusi dalam sikap Melayu terhadap raja-raja Melayu," kata Zaid.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam Umno pada ketika itu, jelas Zaid, beliau mendapat perhatian kerana dilihat menyokong Mahathir tatkala para menteri dan ahli Majlis Tertinggi Umno mengendalikan isu tersebut dengan berhati-hati.

"Saya tidak pernah rasa malu atau takut untuk suarakan pandangan saya, jika saya fikir ia baik untuk negara. Saya sentiasa percaya bahawa dalam sistem demokrasi moden, 'Raja' - sama ada mewarisi atau dipilih untuk menjalankan peranan - harus bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

"Tiada sesiapa yang lebih tinggi daripada undang-undang. Tiada siapa yang boleh berkelakuan seolah-olah dialah undang-undang, "katanya.

Dua hari sebelum Perhimpunan Agung Umno, tambah Zaid, beliau menerima arahan dari bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengatakan Mahathir mahu beliau (Zaid) berucap pada acara tersebut.

Teruja kerana diberikan penghormatan itu, kata Zaid, beliau dengan segera menyediakan ucapan.

"Saya membuat rumusan apa yang saya telah berkata, yang Raja-raja Melayu harus berterima kasih kepada ahli-ahli politik kerana berjuang untuk melindungi kedudukan dan keistimewaan mereka.

"Raja-raja Melayu juga perlu menjauhkan diri daripada politik kerana jangan lupa bahawa pasang surut politik boleh berubah. Mereka tidak sepatutnya terlibat dalam kontroversi awam dan memburuk-burukkan nama baik sendiri dengan terlibat dalam pelakuan tidak wajar bagi Raja-raja sama ada atas sifat peribadi atau rasmi.

"Kuasa rakyat jauh lebih besar daripada mereka sendiri, tidak kira betapa kaya atau kuat golongan yang berkenaan," katanya lagi.

Bagaimanapun, apabila tiba masa untuk beliau menyampaikan ucapan dalam perhimpunan itu, kata Zaid, beliau berasa ketakutan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS