Paling Popular
Terkini

Pengarah Strategik dan Pembangunan Sosial Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu, institusi parlimen di negara ini sepatutnya bebas dan tidak diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu, sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi, institusi parlimen sepatutnya tidak terikat dengan mana-mana jabatan.

"Politik dan demokrasi di Malaysia, dari satu segi ada isu dan masalah demokrasi. Terdapat juga kerosakan yang lain dalam institusi yang sepatutnya menjaga demokrasi iaitu institusi parlimen itu sendiri.

"Parlimen duduk (diletakkan) di bawah JPM dari segi praktikalnya. Tetapi ia tak sepatutnya (duduk di bawha JPM) kerana ia patut bebas.

"Di Malaysia, kita dah memang ada Akta Parlimen yang (menjadikan) parlimen bersifat berdikari dan tak duduk di bawah mana-mana kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan moderator yang bertanya tentang senario demokrasi di negara ini selain pilihan raya dalam forum Wujudkah Demokrasi Di Malaysia? di Shah Alam hari ini.

Turut menjadi panel forum berkenaan ialah exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

Selain itu, Saifuddin berkata, sistem pentadbiran sektor awam di negara ini memang bagus.

Bagaimanapun, kata bekas anggota parlimen Temerloh itu, terdapat masalah dari segi pelaksanaan kerana ia telah dipolitikkan.

"Budaya pentadbiran Malaysia, bagus. Tapi pentadbiran awam kita telah dipolitikkan. Kita kena ada proses nyah politik dalam hal ini.

"Kita juga sedang sediakan kertas putih bagaimana untuk membuat pembaharuan pentadbiran awam.

"Perkara ini jauh lebih penting dari soal memperkecilkan jumlah (kakitangan sektor awam)," kata ketua seketariat Pakatan Harapan itu lagi.

Lihat Komen
ADS