Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tambahan kuota haji: Raja Salman positif, kata PM
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 8:54 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud memberi respons positif terhadap permintaan Malaysia untuk menambah kuota haji sehingga 30,000 jemaah.

Perdana Menteri berkata dalam perbincangan dua hala antara kedua-dua negara hari ini, Raja Salman memaklumkan bahawa kerajaannya perlu memberi pertimbangan lebih mendalam.

"Dari segi peranan Raja Salman sebagai Penjaga Dua Kota Suci, sudah tentu urusan jemaah haji satu perkara amat penting dan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan Arab Saudi," katanya.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perbincangan dua hala itu di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, hari ini.

Raja Salman kini dalam lawatan negara empat hari ke Malaysia bermula semalam atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Awal tahun ini, kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota jemaah haji Malaysia kepada jumlah asal iaitu 27,800 orang setelah kuota itu dikurangkan kepada 22,320 orang sejak 2013 susulan kerja-kerja pembangunan di sekitar Masjidil
Haram.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilapor berkata bahawa kerajaan Malaysia memohon kuota 30,000 jemaah bagi menampung jumlah jemaah haji yang semakin tinggi di Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata Raja Salman turut bersetuju mempertimbangkan permintaan Malaysia untuk membina dua pusat jemaah haji berdekatan Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

"Dalam konteks undang-undang mereka, orang asing tidak boleh membeli tanah mereka. Jadi sama ada kita boleh menyewa jangka masa panjang, ini akan diteliti kerajaan Arab Saudi," katanya.

Terdahulu, Najib dan Raja Salman menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang ekonomi, sains dan pendidikan, dan sumber manusia.

Terdapat juga satu MoU di antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Arab Saudi (SPA) berhubung kerjasama dalam pertukaran berita.

- Bernama

Lihat Komen
ADS