Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Tiada pertemuan Raja Arab - Mahathir
Diterbitkan:  Feb 28, 2017 12:25 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa satu perjumpaan akan diadakan antara Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Portal Sinar Harian Online memetiknya sebagai berkata, setakat ini, tiada pertemuan rasmi diatur oleh kedua-dua pihak.

“Tiada permohonan daripada pihak Raja Salman untuk bertemu Mahathir atau sebaliknya,” katanya.

Mukhriz dilaporkan berkata, lawatan itu diharap dapat merungkai persoalan melibatkan wang derma AS$681 juta membabitkan 1MDB, namun bimbang lawatan itu disalahguna oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengaburi dakwaan yang menjadi krisis politik terbesar dalam negara.

“Sudah pasti kerajaan pimpinan Najib ambil kesempatan atas lawatan itu bukan untuk kepentingan Malaysia, namun kepentingan peribadi beliau dengan muslihat untuk mengiakan dakwaan AS$681 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi miliknya adalah derma seorang putera raja Arab Saudi,” katanya.

Menurutnya, rakyat mengharapkan agar isu berkenaan diperjelaskan Raja Salman supaya mereka mengetahui kebenarannya.

“Betulkah itu wang derma kerana jumlahnya terlalu banyak. Jika ya, adakah wang itu untuk dana pilihan raya Umno?

“Atau untuk membiayai gerakan menentang ancaman IS dan Yahudi seperti dikatakan beberapa menteri kabinet?” katanya.

Portal itu turut memetiknya sebagai berkata, rakyat masih tertanya-tanya sama ada sejumlah AS$620 juta dipulangkan kepada penderma kerabat diraja itu seperti diumumkan.

“Persoalan ini perlukan pengesahan Raja Salman sendiri. Isu ini perlu diselesaikan kerana Najib dan jentera propaganda beliau akan wujudkan gambaran kononnya tiada masalah dengan Arab Saudi, selain dapat mengesahkan dakwaan wang tunai itu sememangnya sumbangan ikhlas kerabat diraja Arab Saudi,” katanya.

Menurutnya, pengesahan itu amat perlu kerana turut melibatkan isu penyelewengan wang 1MDB.

“Demi nama baik Malaysia yang kini terpalit dengan skandal politik terburuk, Raja Salman perlu mengesahkan dakwaan, seorang putera raja Arab Saudi telah menderma wang kepada Najib.

“Sekiranya tidak disahkan, isu itu akan berlarutan dan Najib terus menyalahgunakan kuasa walaupun kehilangan kepercayaan rakyat,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak mahu Najib menyalah guna lawatan itu untuk menutup jenayah yang beliau lakukan dan sudah diketahui dunia.

“Saya harap isu itu diperjelaskan baginda kerana isu berkenaan turut jejaskan nama baik kerajaan Arab Saudi, kerana dikaitkan wang derma,” katanya.

Lihat Komen
ADS