Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Putrajaya, Riyadh bincang ancaman bersifat agama

Arab Saudi sedia berbincang dengan Malaysia mengenai ancaman bersifat agama.

Itu adalah antara perkara dibincangkan antara Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi dalam lawatan rasminya ke Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Kita juga bincang soal menghadapi ancaman bersifat agama walaupun ia bukan asal usul agama - seperti Daesh - dan ancaman menyimpang (dari Islam).

"(Kerajaan) juga akan adakan hubungan (lebih) rapat untuk diperkemaskan," kata Jamil Khir kepada pemberita selepas pertemuan dengan ketua negara Arab Saudi itu di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Jamil berkata pada pertemuan itu juga beliau turut mengadakan perbincangan dengan perwakilan Kementerian Pendidikan dan Agama Arab Saudi.

"Saya jumpa Kementerian Pendidikan dan Agama, beliau sedang menyediakan satu MOU (memorandum persefahaman) bagi mengadakan kolaborasi dengan Malaysia (berkaitan) hal ehwal agama yang perlu diperkemaskan lagi," kata Jamil.

Terdahulu, Raja Salman hari ini mengadakan pertemuan dengan 14 mufti seluruh negara, kecuali Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang sedang uzur.

Sementara itu, Mufti Kuala Lumpur, Datuk Dr Zulkifli Mohamad yang ditemui pemberita berkata Raja Salman sempat berpesan kepadanya agar sentiasa menjaga hubungan sesama negara dan memainkan peranan meninggikan syiar Islam.

"Kami begitu teruja dan eronok dengan pertemuan ini kerana beliau mahukan kita semua sentiasa bersatu padu, sentiasa menjaga hubungan dan memainkan peranan meninggikan syiar Islam dan juga untuk membantu saudara sesama Islam.

"Dari sudut agamanya pula saya melihat betapa kita perlu mempertahankan rumpun persaudaraan Islamiah (kerana) kita begitu dekat dengan Arab Saudi (disebabkan) Mekah yang menjadi tumpuan untuk ibadah haji," kata Zulkifli.

Raja Salman Abdulaziz Al-Saud melakukan lawatan negara ke Malaysia dari selama empat hari sejak 26 Febuari lalu.

Lawatan negara sulung ke Malaysia oleh Raja Salman, yang menaiki takhta pada 23 Jan 2015, adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Lihat Komen
ADS