Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesin sepit mainan tak diharamkan, kata KM
Diterbitkan:  Feb 28, 2017 3:43 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan laporan media pada Ahad lalu, yang memetik beliau sebagai berkata mesin menyepit hadiah patung permainan akan diharamkan oleh pihak majlis tempatan.

Lim berkata, laporan agensi berita nasional Bernama itu yang secara meluas dipetik oleh media lain adalah tidak benar.

"Saya tidak pernah sebut mesin sepit mainan, ia tidak diharamkan," kata Lim pada sidang media di bangunan Komtar, Georgetown, hari ini.

"Laporan itu adalah kewartawanan yang tidak bertanggungjawab serta palsu; jika kamu mahu menjatuhkan saya, biarlah ia berdasarkan fakta," kata Lim.

Selain Bernama, Lim juga menyelar akhbar berbahasa Cina - Sin Chew Jit Poh dan China Press.

Laporan itu memetik Lim sebagai berkata lesen untuk mesin simulator atau mesin judi termasuk yang memerlukan manusia mencuba nasib mengambil patung atau barang permainan menggunakan penyepit tidak akan diperbaharui pada tahun 2018.

Langkah itu adalah untuk mengekang peningkatan masalah sosial, katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan belia di pinggir hutan simpan Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam.

"Amat menyedihkan kerana laporan China Press juga menyelitkan tinjauan orang ramai mengenai pendapat mereka tentang mesin berkenaan yang berdasarkan berita palsu," katanya.

"Kempen untuk memburuk-burukkan saya tidak akan berhenti, media akan terus memburuk-burukkan saya, tetapi kita tidak boleh percaya laporan mereka," katanya.

Ahad lalu, Lim berkata lesen perjudian dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan, dan bukannya kerajaan Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, penduduk tempatan membuat aduan bahawa mesin simulator turut disalah-gunakan untuk perjudian manakala bunyi daripada aktiviti berkenaan mengganggu mereka dari malam hingga subuh.

Sehubungan itu, Lim berkata lesen untuk mesin simulator tidak lagi akan dikeluarkan mulai tahun depan bagi membendung gejala sosial.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS