Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor digesa meletakkan jawatan susulan keengganannya mewartakan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur (DPBRKL) 2020 seperti dirancang.

Gesaan itu dinyatakan dalam sidang media anggota-anggota parlimen pembangkang di lobi bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) berkata sekiranya DPBRKL tidak dilaksanakan, Kuala Lumpur selaku kota utama negara tidak ada garis panduan.

“(Garis panduan) inilah yang akan memastikan kita tahu kawasan zon hijau yang harus dilindungi.

“Sebagai contoh, kawasan berkepadatan tinggi dan rendah kerana rakyat tidak mahu dibebankan dengan masalah lalu lintas di semua kawasan dan diberikan hanya untuk kepentingan pemaju,” katanya.

Semalam, The Malay Mail melaporkan Adnan sebagai berkata, beliau tidak akan menandatangani atau meluluskan rancangan itu kerana mendakwa terdapat ruang untuk penyelewengan berlaku.

Pewartaan pelan tersebut telah dua kali ditangguhkan, iaitu pada 1 julai 2012 dan 28 Februari 2013.

Nurul Izzah berkata, tanpa garis panduan, Kuala Lumpur berisiko dibangunkan mengikut tamak haloba dan kepentingan pemaju.

Sementara itu, anggota parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli berkata Tengku Adnan berkata perkara itu akan dibawa ke parlimen pada sesi akan datang.

“Buat masa ini menteri itu tidak mewakili rakyat dan saya tak tahu dia mewakili siapa, ahli perniagaan atau pemaju.

“Jadi kita akan desak kerajaan ambil tindakan terhadap dia,” kata wakil rakyat Parti Amanah Negara (AMANAH) itu.

Hadir sama dalam sidang media itu adalah Teresa Kok (DAP-Seputeh), Anthony Loke (DAP-Seremban), Tan Kee Kwong (PKR – Wangsa Maju) dan Fong Kui Lun (DAP- Bukit Bintang).

Pada 2012, Datuk Bandar sebelum ini Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata DBKL perlu menangguhkan tarikh pewartaan draf berkenaan buat kali kedua dan meneliti beberapa isu yang perlu diselesaikan bagi menjamin keberkesanan pelaksanaannya.

Lihat Komen
ADS