Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan buat spekulasi kes kehilangan paderi, kata IGP
Diterbitkan:  Feb 28, 2017 4:47 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes yang membabitkan Paderi Raymond Koh Keng Joo, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng pada 13 Februari lalu di Petaling Jaya.

Bercakap kepada Malaysiakini, ketua polis itu berkata terdapat banyak spekulasi mengenai kes berkenaan, dengan ada yang mendakwa bahawa ia berkaitan dengan salah faham agama.

"Saya ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya tidak membuat dakwaan yang tidak berasas dalam kes ini yang boleh menyebabkan perbalahan sebelum motif dikenalpasti. Saya dimaklumkan mesej seumpama itu sedang beredar di media sosial.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kita telah membentuk satu pasukan petugas untuk mengesan di mana beradanya paderi ini. Polis sedang bekerja keras untuk menyelesaikan kes ini," katanya.

Khalid berkata beliau memahami kekecewaan rakan-rakan dan keluarga paderi itu, tetapi pada masa yang sama menegaskan bahawa polis memerlukan masa untuk menyiasat.

"Saya sedar mereka bimbang tentang keselamatannya dan kerana kekecewaan, mereka merasakan polis tidak melakukan secukupnya. Tetapi mereka juga perlu memahami kekangan yang kita hadapi dari segi bukti dan sebagainya.

"Kami sedang melakukan yang terbaik," katanya.

Koh, 62, terbabit dengan kontroversi pada tahun 2011 selepas NGOnya, Harapan Komuniti, dituduh oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memurtadkan umat Islam.

Ini selepas Jais menyerbu di sebuah majlis makan malam kesyukuran dan pengumpulan dana di Gereja Methodist Damansara Utama.

Menurut rakannya, paderi itu juga sebelum ini menerima ugutan bunuh dalam bentuk peluru dihantar ke rumahnya.

Keluarganya menawarkan hadiah RM100,000 untuk maklumat mengenai di mana dia berada.

Lihat Komen
ADS