Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyokong, ahli PAS berhimpun sokong Hadi tolak DAP
Diterbitkan:  Mar 3, 2017 6:22 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Sekumpulan anggota dan penyokong PAS hari ini berkumpul bagi menyatakan sokongan kepada ketegasan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memutuskan hubungan dengan DAP.

Wakil kumpulan itu, Azmi Man yang juga anggota PAS Kepala Batas berkata Abdul Hadi membuat keputusan rasional bagi memastikan PAS tidak terus diperkotak-katikkan oleh DAP dan sekutunya.

"Kami hari ini berhimpun bagi menunjukkan sokongan berhubung kenyataan Presiden PAS tidak mahu dikaitkan dengan parti-parti yang mempunyai hubungan dengan DAP kerana mereka dilihat cuba mencampuri urusan orang Islam terutamanya berhubung isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (RUU 355).

"Kami juga mahu DAP berhenti mengganggu agama Islam kerana rang undang-undang itu tidak membabitkan orang bukan Islam sebaliknya hanya melibatkan orang Islam," katanya kepada pemberita di Kepala Batas hari ini.

Terdahulu beliau bersama lebih 50 penyokong dan anggota PAS berhimpun secara aman di hadapan Masjid Jamiul Badawi di Kepala Batas selepas solat Jumaat. Kumpulan itu turut membawa pelbagai sepanduk mengecam DAP dalam demonstrasi yang berlangsung kira-kira 10 minit itu.

Azmi berkata pihaknya terutama di akar umbi juga berharap PAS tidak akan mengadakan hubungan dengan parti-parti yang mempunyai kaitan dengan DAP termasuk Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Kami amat sedih jika ada dalam kalangan pimpinan PAS membiarkan presiden parti diserang oleh DAP dan PAN tanpa dibela dan kami ingin tegaskan yang anggota parti bersedia dengan apa jua rintangan demi kelangsungan parti," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS