Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Waythamoorthy biadap dan berniat jahat, kata PERKASA
Diterbitkan:  Mar 4, 2017 6:55 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Ketua Wira PERKASA, Azrul Akmal Saharudin berkata, pihaknya memandang berat kenyataan Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy yang dianggap sebagai biadap dan berbaur hasutan untuk memecahkan perpaduan negara ini.

Justeru, kata Azrul Akmal, pihaknya telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur, Kelantan dan Selangor berkenaan hal tersebut.

"Kita mahu pihak polis bertindak terhadap Watyamoorthy kerana jika kenyataan biadap dan berbaur hasutan sebegini dibiarkan sahaja, ianya pasti akan menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat Malaysia.

"Umum sedar, Dr Zakir Naik merupakan seorang pendakwah Islam tersohor dan sangat dihormati di Malaysia di atas keilmuannya dalam bidang perbandingan agama dan usaha dakwah yang dibuatnya.

"Sebarang tuduhan kononnya beliau memberi ancaman pada negara dan sebagainya mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh bukan hanya berdasarkan persepsi di negara bukan Islam sudah tentunya mereka mempunyai agenda tersendiri untuk menyekat dakwah Islam," katanya dalam kenyataan.

Awal bulan ini, sekumpulan aktivis memfailkan tuntutan mahkamah menuntut antara lain, satu perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah kontroversi Dr Zakir.

"(Kami memohon) satu perintah bagi ketua Polis Negara (IGP) untuk segera menangkap Zakir.

"(Juga), satu perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, jika ada diberikan (dan) satu perintah untuk mengusirnya dengan segera dari Malaysia," kata Waythamoorthy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas memfailkan tuntutan mahkamah itu.

Saman itu difailkan oleh Waythamoorthy dan 18 yang lain, termasuk ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Azrul Akmal berkata, Perlembagaan negara ini dengan jelas menyatakan dalam Perkara 3 bahawa Islam adalah agama persekutuan, dan sebarang aktiviti dakwah adalah dibenarkan.

"Ini adalah suatu tindakan terdesak dan tidak bermaruah oleh Watyamoorthy dan Hindraf yang difahamkan mengambil doktrin Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang merupakan pertubuhan yang bersifat subversif dan anti Islam.

"Jika ianya benar, adakah Watyamoorthy mahu rakyat berbangsa India yang beragama Hindu dan yang beragama Islam bergaduh dalam negara ini seperti mana berlaku di Sri Lanka," tambahnya.

Lihat Komen
ADS