Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM ambil langkah drastik di Johor
Diterbitkan:  Mar 5, 2017 5:19 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membayangkan akan ada perkembangan menarik di Johor dalam tempoh sehari dua ini.

Pengarahnya, Datuk Azmi Alias, berkata langkah itu diambil demi kepentingan masyarakat dan komitmen badan itu membebaskan negeri berkenaan daripada rasuah.

Kata Azmi, tindakan itu juga mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk istana dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Malah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut bertitah meminta bersihkan Johor daripada rasuah.

"Saya terharu dengan titah Tuanku Sultan Johor itu sehingga mahu menitiskan air mata dengan komitmen yang ditunjukkan baginda serta kepimpinan negeri yang mahu Johor bebas dari rasuah," katanya dipeti BH Online hari ini.

Azmi berkata demikian pada majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Majlis Perbandaran Kluang hari ini.

Enam lelaki termasuk seorang anak exco Johor ditahan SPRM pada 24 Februari lalu bagi disoal siasat berhubung kes penyelewengan harta tanah di negeri itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata suspek ditahan di beberapa lokasi dalam operasi serentak mulai jam 8.30 pagi.

Suspek terbabit berusia antara 25 hingga 50 tahun.

Ekoran penahanan itu Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi, mula bercuti pada 1 Mac lalu sehingga tarikh yang belum ditetapkan.

The Star melaporkan SPRM menyoal siasat Abd Latif selama empat jam sehari sebelum itu.

The New Straits Times pula yang memetik seorang sumber melaporkan Sultan Ibrahim "murka" dengan kejadian itu dan menitahkan exco terbabit menghadap baginda semalam.

Azmi bagaimanapun enggan memberi penjelasan lanjut mengenai langkah drastik dinyatakannya apabila ditemui media selepas majlis berkenaan.

"Itu nanti dulu. Saya tidak boleh ulas lanjut, kena tunggu dulu," katanya.

Lihat Komen
ADS