Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri luah kebimbangan mengenai penculikan paderi
Diterbitkan:  Mar 6, 2017 4:46 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak melahirkan kebimbangannya terhadap penculikan paderi Raymond Koh, dan menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi.

Beliau berkata, polis sedang melakukan yang terbaik untuk mengesan paderi yang hilang sejak 13 Februari, berdasarkan petunjuk dan bukti yang ada.

Salleh berkata, apabila membabitkan kes-kes penculikan, pihak polis terpaksa berhati-hati untuk melindungi mangsa, oleh itu tidak semua butiran yang berkaitan dengan penyiasatan itu boleh didedahkan kepada umum.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta pihak polis untuk menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

"Saya bersimpati dengan rasa kecewa dan putus asa keluarga dan rakan-rakannya. Tetapi kita tidak boleh membenarkan kemarahan mengaburi pertimbangan kita.

"Saya dapati banyak mesej dan dakwaan sedang beredar berhubung kes ini yang mengaitkan kebencian agama walaupun sebelum polis menubuhkan motif.

"Kita tidak boleh membiarkan ini. Saya yakin sebagai seorang yang berdedikasi untuk berbakti kepada Tuhan, paderi Koh sendiri tidak mahu kita menyemai benih-benih permusuhan agama,” katanya kepada Malaysiakini.

Salleh juga menegur pihak yang bertanggungjawab mengedar mesej mendakwa bahawa paderi itu telah dibunuh dan pihak polis telah menemui mayatnya.

"Bayangkan kesedihan orang tersayang apabila membaca mesej sedemikian?" katanya.

"Bayangkan apa yang berlaku kepada negara ini, apabila orang ramai percaya mesej itu adalah kenyataan? Oleh itu, sila, janganlah kita memburukkan lagi keadaan.

“Sebaliknya, marilah kita berdoa agar paderi Koh selamat pulang," katanya.

Biarpun apa motif sekalipun, Salleh berkata penculik berkenaan mesti dibawa ke muka pengadilan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohd Zani Che Din menolak khabar angin paderi berkenaan telah dibunuh seperti yang tersebar melalui aplikasi mesej teks Whatsapp.

Berdasarkan rakaman CCVT, Koh dirakamkan diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Petaling Jaya, yang menggunakan kenderaan mereka untuk menyekat kereta Honda Accord paderi itu.

Lihat Komen
ADS