Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Korea Utara ibarat Jurassic Park, kata Tok Him
Diterbitkan:  Mar 8, 2017 5:00 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali meneruskan kritikan rakyat Malaysia terhadap Korea Utara dengan menganggap Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) itu sebagai negara Jurassic Park.

"Sememangnya wajar Korea Utara dinamakan negara Jurassic Park kerana walaupun ada manusia dan disebut sebagai sebuah negara, namun corak pentadbirannya seperti kumpulan haiwan dinasaur yg tidak berakal.

"Tidak menghormati dan menghayati peraturan undang-undang antarabangsa dan bersifat biadap, kurang ajar dan tidak berperikemanusian.

"Sememangnya wajib diputuskan hubungan diplomatik kerana ia tidak ada faedah langsung untuk berurusan dalam bidang apa sekalipun. Malah, haiwan pun tahu menghormati peraturan jika dilatih," kata Ibrahim yang popular dengan gelaran Tok Him dalam kenyataannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Malaysia tidak akan memutuskan hubungan dengan Korea Utara susulan ketegangan kedua-dua negara dalam isu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam.

“Kita teruskan hubungan kerana kita ada cara untuk berunding,” kata Najib sambil menegaskan Malaysia negara yang mesra dengan Korea Utara, tetapi harus mempertahankan kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut, Tok Him berkata, kerajaan melalui Wisma Putra hendaklah memastikan kesemua sebelas rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara selamat.

"Jalan terbaik ialah menggunakan jasa baik negara ketiga yang ada hubungan dengan negara Jurasic Park ini iaitu negara China.

"Kerajaan telah menunjukkan ketegasan yang membanggakan setakat ini dan jangan sekali-kali bertolak ansur. Kedaulatan negara mesti didahulu dan dipertahankan," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS