Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

PARLIMEN | Walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa mereka dijemput PAS untuk membincangkan tentang agihan kerusi, namun belum ada sebarang tarikh yang ditetapkan bagi mengadakan perbincangan tersebut.

Menurut Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, setakat ini beliau masih belum dimaklumkan tentang sebarang tarikh berkaitan perbincangan agihan kerusi bersama BERSATU.

"Belum ada tarikh yang ditetapkan.

"Untuk tarikh kita tak tahu, belum ada ketetapan lagi.

"Mungkin saya terlepas pandang, tapi tak ada (dimaklumkan tentang perbincangan)," katanya ringkas kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Semalam, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, partinya mendapat jemputan daripada PAS untuk mengadakan rundingan berhubung agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Ekoran itu, Muhyiddin berkata, hubungan PAS dan BERSATU kini bertambah baik dan ada kemajuan.

Sementara itu, bagi Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula memberitahu, secara prinsip pihaknya tiada masalah membincangkan pembahagian kerusi bersama BERSATU atau Parti Amanah Negara (AMANAH).

Menurut Azmin, ia tidak menjadi masalah memandangkan pada 1999, PKR sebelum ini juga pernah mengalami situasi hampir sama dan mereka dibantu PAS.

"Secara prinsip kita akan memberi jalan kepada rakan-rakan baru kita - AMANAH dan BERSATU.

"Apabila PKR ditubuhkan pada 1999, kita tak ada kerusi pun. Ketika itu PAS bantu PKR, dan DAP bantu PKR, dengan serahkan kerusi-kerusi mereka.

"Secara moralnya saya rasa kini giliran kami untuk membantu rakan-rakan kita atas semangat yang sama iaitu untuk pertahankan prinsip satu lawan satu dalam pilihan raya umum ke-14," katanya.

Lihat Komen
ADS