Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Itu bukan saya punya Facebook'
Diterbitkan:  Mar 10, 2017 2:56 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Pendakwah terkenal Datuk Kazim Elias membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ekoran terdapat pihak yang menggunakan namanya di media sosial.

Beliau membangkitkan beberapa akaun berkaitan “kata-kata nasihat” dan “mutiara kata” menggunakan namanya yang mempunyai pengikut sehingga jutaan orang.

“Sebenarnya saya telah membuat laporan polis dan pihak SKMM berkenaan puluhan Facebook, Twitter dan Instagram yang gunakan nama saya.

“Yang saya rasa jumlah like, pengikutnya mencecah jutaan.

“Facebook yang bukan saya punya mencecah 900,000 dan 700,000. Itu baru satu dua,” katanya di SinarTV.

Sementara itu, personaliti televisyen itu berkata beliau membuat laporan itu kerana penyebaran cerita tidak benar dan hadis palsu boleh berlaku melalui akaun-akaun itu.

“Implikasinya pada saya. Ada cerita-cerita yang bukan saya tulis dijadikan cerita mereka. Jadi cerita daif, hadis palsu yang bukan-bukan. Akhirnya orang kata saya buat dan sekolah saya yang sebarkan.

“Jadi saya rasa saya perlu tampil jelaskan kerana ada satu Facebook yang bawa perkauman saya rasa tak elok untuk negara kita.

“Hentikan penggunaan nama saya dan gambar saya. Jangan jadikan orang lain keliru dan salah faham, tak elok sangat,” katanya.

Hanya satu akaun

Tambahnya, beliau hanya mempunyai satu akaun Facebook sahaja yang menggunakan nama “Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias” dengan 1.2 juta pengikut.

Kazim tahun lalu pernah didakwa menyebarkan hadis palsu dalam bukunya Tuhan Sedang Menguji Kita, seperti didedahkan Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

Beliau menulis berkaitan kenduri Nabi Muhammad menyediakan kurma goreng celup tepung dan roti jala dicelup kuah kari.

Sementara itu, Kazim juga menjelaskan kenyataan berkaitan perkara itu hanya perbandingan dengan situasi di Malaysia.

Lihat Komen
ADS