Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas pelbagai memorandum dan surat bantahan gagal mengubah keadaan, sekumpulan penduduk dan peniaga hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembinaan pusat penyembelihan ayam berhampiran Pasar Borong Selayang.

Pegawai Informasi Gabungan Persatuan Penduduk Selayang, Abdul Aziz Mohd Alias, berkata antara langkah pernah mereka ambil ialah menyampaikan memorandum kepada perdana menteri.

Katanya, memorandum mereka diserah kepada setiausaha akhbar perdana menteri bagi meminta supaya projek pembinaan pusat penyembelihan ayam itu dihentikan.

"Kami juga beri memorandum kepada perdana menteri supaya beliau turun dan tengok dengan mata kepala sendiri sesuai atau tidak tempat itu dibina rumah sembelihan," katanya kepada media di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Abdul Aziz bersama Penolong Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Shahimi Hashim; Penaung Rumah Amal Cheshire Selangor, Khatijah Sulaiman; serta peguam mereka hadir ke SPRM kira-kira jam 11 pagi untuk mengadukan masalah berkenaan.

Mereka keluar dari situ kira-kira satu setengah jam kemudian.

Febuari lalu lebih 200 peniaga dan penduduk Selayang berkumpul di depan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk menyerahkan memorandum bantahan pembinaan pusat penyembelihan ayam itu.

Tindakan tersebut dibuat ekoran projek yang dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu didakwa menyebabkan berlaku pencemaran alam sekitar.

Selain itu, penduduk juga berpendapat lokasi yang dipilih tidak sesuai kerana terletak berhampiran kawasan perumahan, sekali gus akan menimbulkan kesesakan lalu lintas.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya dimaklumkan tapak pusat penyembelihan ayam itu masih lagi hak milik PTG.

Turut menjadi kebimbangan penduduk setempat, kata Abdul Aziz, ialah dengan kemunculan virus selesema burung (H1N1) yang kini dilaporkan dikesan di Kelantan.

"Dalam surat khabar hari ini ada melaporkan terdapat kes selsema burung di Kelantan dan beberapa kawasan sejauh dua kilometer kuarantin.

"Kalau ini berlaku di Selayang, di mana kawasan kuarantin yang nak dibuat? Mana penduduk nak lari?" soal Abdul Aziz.

Justeru, kata Abdul Aziz, adalah lebih baik jika kerajaan mengkaji semula cadangan tersebut.

"Kita minta kerajaan semak balik, kaji balik tentang kepentingan masyarakat di sekitar Selayang yang kini sedang pesat membangun.

"Kami tak menghalang atau tidak menyokong projek kerajaan, projek itu bagus cuma lokasinya tak sesuai kerana kepadatan penduduk yang tinggi di Selayang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan DBKL merancang membangunkan pusat penyembelihan di Pasar Harian Selayang yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Langkah itu dibuat berikutan arahan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang melarang ayam dan itik disembelih di pasar.

Lihat Komen
ADS