Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS mahu pelanggar baiah diheret ke mahkamah
Diterbitkan:  Mar 11, 2017 4:15 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

PAS kawasan Tanah Merah meluluskan usul supaya mana-mana bekas pemimpin parti itu didakwa di mahkamah syariah jika melanggar sumpah taklik dan baiah yang dilafaz sebelum ini.

Usul dibawa perwakilan PAS Cawangan Klewek itu mendesak PAS Pusat atau Badan Perhubungan PAS Kelantan bertindak segera kepada mana-mana individu yang melanggar sumpah berkenaan.

Menurut laporan Harakahdaily, perbuatan individu terbabit sangat memalukan serta seolah-olah mempermainkan sumpah tersebut.

"Sumpah dan baiah dibuat mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi mengelakkan wakil rakyat PAS melompat parti dan membawa lari kerusi PAS.

"Kami mendesak bawa mereka ini ke mahkamah syariah sebab hakim kata (perbuatan itu) ada kes (boleh didakwa) tetapi kita masih berdiam diri," katanya dipetik portal berita PAS itu.

Mesyuarat berkenaan dirasmikan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Lafaz taklik dan sumpah baiah dimestikan kepada semua calon yang diturunkan mewakili PAS dalam pilihan raya di Kelantan.

Ia diperkenalkan ketika PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995 apabila kerajaan Kelantan berdepan cabaran ekoran tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Melalui lafaz itu, perkahwinan seseorang wakil rakyat dianggap terbubar dengan talak tiga jika mereka meninggalkan PAS.

Minta semula kerusi Tanah Merah

Isu itu kembali menjadi panas apabila beberapa pemimpin keluar dari parti selepas muktamar tahunan PAS 2015 di Selangor.

Antara wakil rakyat yang dikaitkan dengan isu itu ialah Dr Hatta Ramli (Anggota Parlimen Kuala Kerai), Khalid Samad (Shah Alam) dan terbaru Datuk Husam Musa (ADUN Salor).

Sebelum ini, pada Oktober 2015 Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu, parti itu tidak menolak kemungkinan akan memansuhkan syarat lafaz taklik cerai talak tiga kepada wakil rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada pertimbangan yang akan dibuat dengan melihat keadaan semasa parti itu di Kelantan.

Harakahdaily melaporkan usul berkenaan mendapat sokongan sebulat suara daripada semua perwakilan dan PAS kawasan itu menyatakan kesungguhan mereka untuk bertindak sendiri jika pimpinan peringkat negeri tidak memberi perhatian seperti diharapkan.

"Kami berharap supaya muktamar ini mendesak PAS agar bertindak. Sekiranya tiada, PAS kawasan akan bertindak membawa kes ini ke mahkamah," katanya.

Satu lagi isu yang dibawa cawangan Klewek itu ialah mendesak PAS Pusat mengambil semula kerusi parlimen Tanah Merah yang diserahkan kepada PKR sebelum ini.

Lihat Komen
ADS