Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

DAP Melaka hari ini mengalami gelombang kedua melibatkan anggotanya yang keluar parti selepas ahli veteran dan Ahli Parlimennya, Sim Tong Him bersama tiga ADUN lain berbuat demikian bulan lalu.

Seramai 182 anggota akar umbi DAP yang diketuai tujuh bekas anggota jawatankuasa DAP negeri, keluar parti kerana 'kecewa' dengan parti itu.

Antara lain mereka berkata, parti itu menyimpang daripada prinsip "Malaysian Malaysia", kata bekas Setiausaha DAP Melaka, Liou Chen Kuang.

Selain Liou, enam bekas anggota jawatankuasa negeri lain yang meletakkan jawatan ialah N Ghandi, Low Chew Lim, Henry Kang, Kenny Tam, Kng Tuan Hock dan Tee Ai Yen.

Liou juga mengkritik DAP kerana "menjual maruah Cina" demi meraih undi untuk mendapat kuasa, dengan mendakwa gagal menghapuskan rasuah dalaman serta dakwaan campur tangan kepimpinan pusat dalam hal berkaitan DAP negeri.

"Kami memutuskan untuk mengambil keputusan ini selepas sebulan pertimbangan dan berunding dengan penyokong tempatan dan ahli-ahli.

"182 ahli memilih untuk keluar daripada parti kerana DAP telah menyimpang dari perjuangannya," kata Liou yang menyertai DAP 18 tahun lalu kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Setiausaha DAP Negeri, Khoo Poay Tiong menafikan parti itu telah menyimpang daripada prinsip "Malaysian Malaysia" dan menggesa anggotanya mempertimbangkan semula keputusan mereka.

"Saya difahamkan, mereka (anggota yang tidak berpuas hati) akan hantar surat peletakan jawatan mereka kepada kepimpinan pusat.

"Jika mereka belum menghantar (surat itu), saya gesa mereka agar bertenang dan mempertimbangkannya semula," kata ADUN Ayer Keroh itu ketika dihubungi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS