Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis menemui jalan buntu dalam siasatan mereka berhubung dakwaan kehilangan seorang lagi lelaki yang dipercayai sebagai seorang paderi, Joshua Hilmy bersama isterinya.

"Kami telah menyoal siasat pengadu, dan masalahnya pengadu tidak dapat memberikan sebarang maklumat tentang mereka.

"Dia (pengadu) tidak tahu nombor plat kereta atau alamat mereka, sesuatu yang akan memberikan petunjuk," kata Ketua Polis Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din kepada Malaysiakini.

Sebelum ini terdapat laporan polis yang dibuat pada 6 Mac oleh seseorang yang mendakwa adalah rakan rapat dengan Joshua dan isteri mengenai kehilangan pasangan itu.

Beliau mendakwa kemungkinan besar bahawa Joshua dan isterinya telah hilang sejak November tahun lalu kerana beliau tidak dapat berhubungan dengan mereka.

"Ini tidak normal kerana kami sering berhubungan dan berjumpa antara satu sama lain sekurang-kurangnya beberapa kali setiap bulan.

"Sejak November 2016, beliau tidak menghubungi saya dan cubaan saya untuk menghubunginya gagal sehingga hari ini.

"Atas sebab-sebab ini, saya percaya bahawa beliau dan isterinya telah hilang dan saya amat bimbang tentang keselamatan mereka," petik laporan itu.

Ketika dihubungi, lelaki itu mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa beliau memang membuat laporan itu.

Mohd Zani berkata tanpa maklumat asas mengenai pasangan itu, polis tidak dapat mengesan di mana mereka tinggal dan mengesahkan kehilangan mereka.

"Apabila kamu menghubungi saya, saya mengarahkan pegawai penyiasat untuk menghubungi pengadu dan menyoalnya sekali lagi mengenai maklumat ini tetapi masih tidak ada apa-apa," katanya.

Lelaki yang membuat laporan itu berkata pada mulanya beliau menyangkakan Joshua dan isterinya telah pergi bercuti kerana mereka cenderung berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, selepas bercakap dengan rakan-rakan lain pasangan itu, mereka juga melahirkan kebimbangan dan menasihatkannya untuk membuat laporan polis.

Beliau juga mengesahkan bahawa polis telah menyoalnya tetapi mengakui tidak dapat membekalkan mereka dengan maklumat lengkap tentang Joshua dan isterinya.

"Dua bulan lalu, saya ada nombornya. Saya cuba memanggilnya dan tidak pernah mendapat jawapan.

"Selepas itu, saya memadamkan nombor itu, jadi saya tidak mempunyai nombor itu lagi," katanya.

Pasangan itu juga tidak mempunyai ramai saudara-mara yang boleh dihubungi, katanya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS