Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau berasa “pelik” dengan penafian Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa partinya bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Setiausaha agung PAS berkata, beliau tidak nampak sebarang alasan untuk anggota parlimen beragama Islam untuk menolak Akta 355 itu.

"Kalau ada anggota parlimen yang tidak mahu sokong, yang jelasnya mereka yang tidak menyokong pindaan ini, perlu beri penjelasan kepada rakyat terutamanya umat Islam di Malaysia,” katanya.

Anggota parlimen Kota Bharu itu berkata kepada pemberita selepas persidangan antarabangsa berkaitan nasib Rohingya di sebuah hotel di Putrajaya malam tadi.

Beliau diminta mengulas kenyataan Muhyiddin yang menafikan bahawa beliau telah bersetuju dengan RUU 355.

Semalam Muhyiddin berkata kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa beliau pada dasarnya bersetuju dengan usaha parti itu untuk meminda Akta 355, tidak tepat.

Katanya, sehingga kini, beliau sebagai anggota parlimen Pagoh, masih tidak tahu kedudukan akhir pindaan yang dicadangkan dan justeru sukar membuat keputusan.

Takiyuddin berkata, ketika pindaan akta itu dibuat pada tahun 1984, tidak ada sebarang bangkangan di Dewan Rakyat, termasuk oleh veteran DAP Lim Kit Siang sendiri.

Usul yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bertujuan melipatgandakan hukuman maksimum Mahkamah Syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebatan 100 kali.

Lihat Komen
ADS